
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan mengesahkan pelantikan Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong, manakala Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid sebagai Undang Luak Rembau.
- Jawatan Datuk Shahbandar Sungei Ujong kini kosong selepas penyandang dilucutkan kuasa berkuat kuasa 30 Julai 2026; pelantikan baru sedang dijalankan mengikut adat.
- Undang Luak Jelebu kosong selepas Waris Berundang tiga perut memecat Datuk Maarof Mat Rashad berkuat kuasa 31 Mei 2023 atas kesalahan adat.
- Tindakan Datuk Maarof selepas tarikh tersebut tidak sah dan Darjah Tertinggi Negeri Sembilan gugur.
- DKU isytihar pengumuman 19 April 2026 tidak berperlembagaan, bercanggah Perkara X Undang-Undang Tubuh 1959 dan tiada kesan perundangan.
Kedua-duanya dilantik mengikut adat luak masing-masing dengan perkara berkenaan diputuskan pada persidangan DKU, semalam yang dipengerusikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menerusi kenyataan Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin, DKU turut memaklumkan jawatan Datuk Shahbandar Sungei Ujong kini kosong selepas penyandangnya, Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid, dilucutkan mengikut adat berkuat kuasa 30 Julai 2026 dan proses pelantikan penyandang baharu sedang dilaksana mengikut adat Luak Sungei Ujong.
DKU turut memutuskan jawatan Undang Luak Jelebu adalah kosong selepas menerima keputusan Waris Berundang daripada tiga perut, iaitu Kemin Teriang, Kemin Beringin dan Kemin Bemban, yang memecat Datuk Maarof Mat Rashad sebagai Penyandang Pusaka Undang Luak Jelebu Ke-16 berkuat kuasa 31 Mei 2023 atas kesalahan adat.
“Semua tindakan yang dibuat Datuk Maafof selepas tarikh berkenaan adalah tidak sah, manakala Darjah Tertinggi Negeri Sembilan (DTNS) yang digunakan ketika menyandang jawatan itu turut gugur,”menurut kenyataan itu lagi.
Pada masa sama, DKU mengisytiharkan pengumuman bertarikh 19 April 2026 sebagai tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan tidak mempunyai sebarang kesan dari sudut perundangan.
DKU turut memutuskan individu yang dinamakan dalam pengumuman itu sebagai Undang Luak Sungei Ujong,Undang Luak Rembau dan Undang Luak Jelebu tidak pernah atau tidak lagi memegang jawatan berkenaan secara sah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta adat yang berkuat kuasa.