Sabah tawar insentif RM10,000 untuk pemenang pingat emas SUKMA

Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan kontinjen Sabah ke SUKMA dan Para SUKMA. Foto/Bernama

KOTA KINABALU, 28 Julai – Kerajaan Negeri Sabah menyediakan insentif tunai RM10,000 kepada setiap atlet negeri yang memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Selangor bulan hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kontinjen Sabah menyasarkan 40 pingat emas SUKMA, melebihi rekod terbaik 33 emas pada edisi 2018 di Perak.
  • Sabah akan menghantar 744 atlet (385 lelaki, 359 wanita) untuk bertanding dalam 36 daripada 37 jenis sukan.
  • Para SUKMA: Sabah sertai semua 10 acara dengan 154 atlet, 117 pegawai dan menyasarkan 66 pingat emas; insentif turut diberikan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pemenang pingat perak dan gangsa pula masing-masing akan menerima insentif RM3,000 dan RM2,000.

“Jadi kita berharap semua akan berebut-rebut mendapat insentif RM10,000 daripada kerajaan negeri dengan mendapatkan emas bagi kontinjen Sabah.

“Harapan saya amat tinggi agar semua pegawai dan atlet dapat menunjukkan prestasi terbaik, berdisiplin, memiliki semangat patriotik yang tinggi serta menjaga nama baik Sabah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan kontinjen Sabah ke SUKMA dan Para SUKMA di sini.

Menurut Datuk Nizam, kontinjen Sabah menyasarkan 40 pingat emas pada temasya SUKMA yang akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos itu, mengatasi rekod terbaik negeri sebanyak 33 emas pada edisi 2018 di Perak.

Katanya, persiapan atlet bermula selepas penganjuran Sukan Sabah (SAGA) pada Oktober tahun lepas dengan Majlis Sukan Negeri Sabah telah mengenal pasti dan menyenaraikan atlet berpotensi untuk menjalani latihan serta menyertai kejohanan di dalam dan luar negara.

“Pada Julai ini kita telah menyenarai pendek, kita percaya setelah kita membuat perbandingan dengan pencapaian yang lalu, Insya-Allah kita akan dapat mencapai sasaran 40 pingat emas dengan atlet-atlet yang ada masih muda,” katanya.

Sabah akan menyertai 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan menerusi 744 atlet, terdiri daripada 385 lelaki dan 359 wanita.

Bagi Para SUKMA yang dijadualkan dari 5 hingga 11 September, Sabah akan mengambil bahagian dalam kesemua 10 acara dengan penyertaan 154 atlet dan 117 pegawai serta menyasarkan 66 pingat emas.

Insentif sama turut diberikan kepada atlet Para SUKMA yang memenangi pingat emas, perak dan gangsa pada temasya berkenaan. – Bernama

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.