
PASIR MAS, 28 Julai – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mengangkut 103 batang kayu getah pelbagai saiz tanpa permit pemindahan yang sah di Jalan Pohon Tanjung, di sini, semalam.
- Pemeriksaan lori mendapati pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit pemindahan kayu yang sah.
- Nilai rampasan dianggarkan RM105,000, melibatkan sebuah lori RM75,000 dan kayu getah RM30,000.
- Suspek menggunakan lori persendirian sejak kira-kira tiga tahun untuk pemindahan kayu mengikut permintaan pekebun, tanpa permit dan di luar waktu ditetapkan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam operasi kira-kira pukul 6.45 petang itu, anggota PGA Kuantan menahan sebuah lori yang membawa muatan kayu dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas lori tersebut mendapati pemandunya gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit pemindahan kayu yang sah.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 103 batang kayu getah pelbagai saiz yang dipercayai dipindahkan tanpa kebenaran. Suspek kemudian ditahan dan lori bersama muatan kayu dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM105,000, membabitkan sebuah lori bernilai RM75,000 dan kayu getah bernilai RM30,000.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek memperoleh kayu berkenaan daripada pekebun di Kampung Banggol Kong, Jeram Perdah sebelum dihantar ke sebuah kilang kayu di Pasir Mas untuk diproses.
“Siasatan turut mendapati suspek menggunakan lori persendirian bagi menjalankan kerja pemindahan kayu sejak kira-kira tiga tahun lalu serta melakukan pemindahan berdasarkan permintaan pemilik kebun.
“Bagaimanapun, pemindahan itu dibuat di luar waktu yang ditetapkan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan tanpa permit pemindahan kayu yang sah,” katanya.
Beliau berkata, semua rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Perhutanan Negara 1984.