
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Institusi wakaf dan gerakan dakwah perlu menguasai teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan bagi memastikan peranannya kekal relevan dalam arus pemodenan global.
- Seimbangkan penguasaan teknologi dengan pengukuhan akidah, akhlak dan nilai kemanusiaan supaya jati diri dan prinsip moral terpelihara.
- Institusi agama mesti mengekalkan nilai, etika dan pembentukan sahsiah ketika menerajui kemajuan.
- Elakkan meninggalkan akidah dan akhlak; jika tidak, mudah diheret tanpa kehilangan kedaulatan identiti.
- Kemajuan teknologi tanpa panduan nilai boleh menghakis kemanusiaan dan maruah; hayati semangat kemerdekaan dalam pemodenan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penguasaan teknologi itu bagaimanapun mesti diseimbangkan dengan pengukuhan akidah, akhlak dan nilai kemanusiaan supaya kemajuan yang dicapai tidak menghakis jati diri serta prinsip moral masyarakat.
Beliau berkata, institusi agama dan umat Islam tidak boleh mengabaikan nilai, etika serta pembentukan sahsiah ketika mengejar kemajuan teknologi masa depan.
“Sementara kita menggapai di langit, kita wajib mengakar ke bumi. Mengakar ke bumi itu dengan iman, akidah, akhlak, sahsiah, budaya, penguasaan bahasa serta sejarah negeri dan tempatan. Kalau kita hanya menggapai di langit kerana mengejar teknologi, pemodenan dan pembaharuan tetapi meninggalkan aspek akidah dan akhlak, kita akan mudah diheret tanpa perlu dijajah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Kuala Lumpur.
Menurut Datuk Seri Anwar, kemajuan teknologi yang tidak dipandu oleh nilai dan etika bukan sahaja boleh menghakis sifat kemanusiaan, malah menjejaskan maruah serta pembentukan sahsiah masyarakat.
Beliau turut mengaitkan mesej itu dengan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal diraikan pada Ogos, sambil menegaskan kemerdekaan perlu dihayati melalui usaha membangunkan negara yang menguasai teknologi moden tanpa mengabaikan nilai-nilai asas yang menjadi teras pembinaan tamadun.