
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Tumpuan akan terus diberikan kepada reformasi indikator yang masih lemah dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD), bagi mencapai sasaran meletakkan Malaysia dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
- PEMUDAH meneliti 262 indikator IMD untuk kenal pasti aspek lemah dan fokus pada reformasi yang perlu diperkukuh.
- Tumpuan diberi kepada indikator berkedudukan melebihi 20 melalui kerjasama kerajaan dengan sektor swasta dan pengukuhan proses birokrasi.
- Pemerkasaan daya saing dijangka menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan meningkatkan gaji rakyat.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) sedang meneliti 262 indikator IMD, bagi mengenal pasti aspek yang perlu diperkukuh menerusi reformasi sektor awam dan swasta.
Usaha ini dilaksanakan susulan peningkatan kedudukan Malaysia ke tangga ke-15 dalam IMD 2026 berbanding tangga ke-23, tahun lalu.
“PEMUDAH sedang memberi tumpuan kepada reformasi indikator yang mempunyai kedudukan melebihi 20.
“Secara keseluruhan, kita cukup baik, tetapi apabila diteliti mengikut indikator-indikator yang 262 ini, yang lebih 20, kita memberi penekanan dan mempergiat kerjasama kerajaan dengan sektor swasta, di samping memperluas pelaksanaan reformasi kerenah birokrasi.
“PEMUDAH ini pengerusi bersamanya Menteri Ekonomi, Ketua Setiausaha Negara dan wakil industri dan saya kira PEMUDAH ini akan membantu kita memastikan daya saing negara terus dipertingkatkan,” katanya di Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Rita Sarimah Patrick Insol berhubung langkah kerajaan memperkukuh daya saing dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ranking IMD.
Menurut Datuk Mohd Shahar, peningkatan daya saing negara dijangka menarik lebih banyak pelaburan berkualiti yang mampu mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan meningkatkan gaji rakyat, sekali gus membantu menangani cabaran kos sara hidup.