Syed Adney ingatkan Harimau Malaya kawal tekanan di Yangon

Syed Adney Syed Hussein/ RTM

KUALA LUMPUR, 25 Julai- Skuad Harimau Malaya dituntut memiliki ketahanan mental yang kukuh menjelang aksi pembukaan Kumpulan B Piala ASEAN 2026 menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketahanan mental pemain sangat penting; persediaan fizikal dan taktikal tidak mencukupi jika gagal mengawal tekanan penonton.
  • Barisan pertahanan perlu berwaspada terhadap serangan balas pantas lawan yang boleh mengubah perlawanan dalam sekelip mata.
  • Pemantauan rapi terhadap pemain laju seperti Win Naing Tun penting kerana kepantasan dan penyudahnya boleh mencetuskan masalah.

Bekas pemain kebangsaan, Syed Adney Syed Hussein berkata persediaan fizikal dan taktikal sahaja tidak mencukupi sekiranya pemain gagal mengawal tekanan ketika beraksi di gelanggang lawan.

Menurut beliau, suasana di hadapan ribuan penyokong Myanmar dijangka menjadi antara cabaran utama buat skuad negara, meskipun Malaysia memiliki rekod pertemuan yang baik dengan pasukan berkenaan.

“Bukan senang untuk bermain di Yangon di hadapan penyokong-penyokong mereka. Kedudukan mental pemain sangat penting kerana situasi ini menuntut ketahanan mental yang tinggi.

“Walaupun dari segi persediaan fizikal atau kecergasan perlawanan mungkin mencabar buat sesetengah pemain… dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku jika mereka fokus dan bersedia secara mental,” katanya kepada RTM.

Dalam pada itu, Syed Adney turut mengingatkan barisan pertahanan Harimau Malaya supaya berwaspada terhadap ancaman serangan balas pantas Myanmar.

Beliau berkata penyerang Myanmar, Win Naing Tun antara pemain yang perlu diberi perhatian kerana mempunyai keupayaan mencipta peluang menerusi kepantasan dan penyudah.

“Myanmar merupakan pasukan yang laju dan serangan balas mereka sangat berbahaya. Pemain seperti Win Naing Tun berupaya mencetuskan masalah jika barisan belakang kita hilang tumpuan walau seketika.

“Secara teknikal kita mungkin berkelebihan tetapi faktor kelajuan dan semangat juang Myanmar di tempat sendiri tidak boleh dipandang mudah,” katanya.

Aksi antara Myanmar dan Malaysia dijadualkan berlangsung petang ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.