
KLANG, 24 Julai – Seramai 18 kanak-kanak dari Tabika Perpaduan Taman Seri Andalas, Klang berpeluang merasai pengalaman pertama menaiki Transit Aliran Ringan (LRT3) Laluan Shah Alam, menerusi program Jom Naik LRT3.
- Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Klang bersama Pertubuhan 99 Kebajikan Insan Selangor.
- Program memanfaatkan tawaran tambang percuma LRT3 sehingga 31 Julai, memberi akses pengangkutan kepada masyarakat.
- Memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak tentang cara menggunakan pengangkutan awam dengan betul dan selamat.
- Program perkenalkan etika stesen, penggunaan tren berhemah, dan dimeriahkan nyanyian lagu Negeri Selangor serta lagu kanak-kanak.
Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Klang dengan kerjasama Pertubuhan 99 Kebajikan Insan Selangor itu memanfaatkan tawaran tambang percuma LRT 3 sehingga 31 Julai ini.
Pegawai Perpaduan Daerah Klang, Firdaus Sulaiman berkata kanak-kanak berkenaan bersama ibu bapa dan guru mereka dibawa menaiki tren bermula dari stesen LRT Taman Seri Andalas dan berakhir di stesen Seksyen 7 Shah Alam.
“Program kali ini kita bawakan anak-anak Tabika Perpaduan Taman Sri Andalas merasai pengalaman menaiki LRT3 yang baru sahaja diadakan di negeri Selangor khususnya di Klang dan juga Shah Alam.
“Kami rakyat di lapangan merafak setinggi tinggi kesyukuran dan juga menjujung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di atas keperihatinan Tuanku di atas pembangunan infrastruktur yang memberikan impak kemudahan kepada rakyat jelata khususnya di Selangor”, katanya.
Sementara itu, bapa murid Sabri Mohd Hambali berpendapat program ini turut memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai cara menggunakan pengangkutan awam dengan betul dan selamat.
“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan yang telah menyiapkan LRT3 ini”, katanya.
Selain, memberi pengalaman menaiki pengangkutan awam, program itu turut memperkenalkan etika berada di stesen dan cara menggunakan perkhidmatan tren secara berhemah.
Suasana perjalanan turut dimeriahkan dengan nyanyian lagu Negeri Selangor dan lagu kanak-kanak, sekali gus menjadikan pengalaman pertama menaiki LRT3 lebih menyeronokan.