
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir yang melibatkan beberapa kawasan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka dan Johor sehingga pukul 10 pagi ini.
- Ribut petir disertai hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku.
- Amaran dikeluarkan apabila hujan melebihi 20 mm sejam atau dijangka berterusan lebih satu jam.
- Amaran jangka pendek sah tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
- Orang ramai dinasihatkan berwaspada, mengikuti perkembangan cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa semasa kecemasan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 7.30 pagi, METMalaysia memaklumkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda seluruh Pulau Pinang.
Sementara di Selangor, kawasan yang terlibat ialah Klang dan Kuala Langat, manakala di Melaka membabitkan daerah Jasin.
Di Johor pula, amaran berkuat kuasa di daerah Tangkak, Muar dan Batu Pahat.
Menurut METMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam (mm/j) hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi satu jam.
“Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai di kawasan yang terlibat dinasihatkan supaya berwaspada dan mengikuti perkembangan cuaca semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang kecemasan.