
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, peningkatan kos penjagaan warga emas ketika Malaysia menuju status negara menua serta kemajuan projek tebatan banjir di Sabah antara isu utama yang bakal menjadi perhatian pada persidangan Dewan Negara hari ini.
- Cadangan PERKESO menyemak semula garis panduan pengiktirafan penyakit pekerjaan, termasuk penyakit kronik akibat tekanan dan faktor pekerjaan jangka panjang.
- Perbincangan isu antarabangsa dan sosial, termasuk pemulangan selamat Rohingya, keselamatan wanita dan kanak-kanak, serta pelaksanaan PLKN 3.0.
- Bacaan kali kedua sembilan RUU, termasuk pindaan berkaitan kesalahan seksual kanak-kanak, persaingan, kawalan padi dan beras, komunikasi serta statistik.
Persidangan yang bermula pukul 10.00 pagi itu didahului sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dengan soalan pertama dikemukakan Senator Sheikh `Umar Bagharib Ali kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berhubung perkembangan pelaksanaan NIMP 2030, termasuk pencapaiannya dalam meningkatkan produktiviti serta penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff pula meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjelaskan perancangan kerajaan membiayai kos penjagaan warga emas yang semakin meningkat, khususnya bagi penjagaan jangka panjang dan rawatan penyakit kronik.
Turut dijangka menjadi tumpuan ialah penjelasan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, berhubung status pelaksanaan projek tebatan banjir di Sabah di bawah peruntukan RM22 bilion menerusi soalan dikemukakan Senator Datuk Bobbey Suan.
Selain itu, Menteri Sumber Manusia dijadual menjawab soalan Senator Datuk Seri Vell Paari Tun Samy Vellu mengenai cadangan PERKESO menyemak semula garis panduan pengiktirafan penyakit pekerjaan bagi mengambil kira penyakit kronik akibat tekanan dan faktor pekerjaan jangka panjang.
Antara isu lain yang turut dijangka mendapat perhatian ialah usaha ASEAN memastikan pelarian Rohingya dapat pulang ke Myanmar dengan selamat, langkah meningkatkan keselamatan wanita dan kanak-kanak di ruang awam, dan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di institusi pengajian tinggi.
Selain itu, cadangan memberi autonomi kepada universiti awam dalam pengambilan pelajar tanpa melalui Unit Pusat Universiti (UPU), status bekalan ubat negara, pembangunan industri daging kultur, penilaian semula Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), peluasan Program Jualan Rahmah MADANI kepada komuniti asnaf, pembangunan semula bangunan komersial terbengkalai sebagai perumahan mampu milik serta usaha Malaysia memperjuangkan hak rakyat Palestin di peringkat antarabangsa, turut menjadi tumpuan.
Selepas sesi soal jawab, Dewan Negara akan meneruskan bacaan kali kedua sembilan rang undang-undang (RUU), antaranya RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026, RUU Persaingan (Pindaan) 2026, RUU Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026, RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 serta RUU Statistik 2026.