
SENAWANG, 23 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan kerajaan akan menaikkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam masa terdekat bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
- Kerajaan MADANI pertimbang meningkatkan kadar bantuan, termasuk STR dan SARA, bergantung kepada keadaan ekonomi negara.
- Perkara dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, dan akan dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
- Kerajaan ambil kira maklum balas rakyat; bantuan sedia ada belum menyelesaikan masalah kos sara hidup.
- Anwar tegaskan rekod PH Negeri Sembilan melaksanakan janji, dan sokong kekal Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar jika diberi mandat.
Beliau berkata, langkah itu dipertimbangkan selepas kerajaan mengambil kira maklum balas dan rintihan rakyat meskipun pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan sebelum ini.
“Walaupun kita beri Sumbangan Tunai Rahmah (STR), SARA, Datuk Seri Aminuddin bagi bonus tinggi kepada penjawat awam, adakah selesai masalah? Belum.
“Kerana itu, kita dengar rintihan rakyat dan insya-Allah dalam masa terdekat, kita akan naikkan lagi SARA untuk rakyat semua,” katanya ketika berucap pada Jelajah Kekal HARAPAN Negeri Sembilan di Senawang.
Baru-baru ini, Datuk Seri Anwar berkata Kerajaan MADANI akan terus memperhalusi kemungkinan meningkatkan kadar bantuan kepada rakyat, termasuk STR dan SARA, sekiranya keadaan ekonomi negara mengizinkan.
Menurut beliau, perkara itu telah dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican dan akan dipertimbangkan dalam pembentangan Belanjawan 2027.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan rekod pentadbiran Pakatan Harapan di Negeri Sembilan membuktikan kerajaan melaksanakan apa yang dijanjikan kepada rakyat.
“Rekod yang dibuat di Negeri Sembilan bukan omong kosong, bukan sekadar bicara. Rekod kita ialah melaksanakan apa yang diperkatakan kerana kami tidak mahu dihukum akibat menjanjikan sesuatu yang tidak dilaksanakan,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut menyatakan pendirian untuk mengekalkan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan itu sekali lagi diberi mandat mentadbir negeri berkenaan.