Risiko geopolitik Asia Barat pacu kenaikan harga bahan api

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 22 Julai – Kenaikan harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi bagi tempoh 23 hingga 29 Julai 2026, didorong risiko geopolitik yang kembali memuncak di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • MOF tetapkan harga baharu berdasarkan Mekanisme Penetapan Harga Automatik selaras pergerakan pasaran minyak dunia selepas kenaikan harga Brent.
  • Risiko geopolitik di Asia Barat termasuk ketegangan AS-Iran, inventori global ketat dan gangguan penghantaran melalui Selat Hormuz tingkatkan kebimbangan bekalan.
  • Harga bersubsidi kekal; rakyat layak boleh guna MyKad untuk beli RON95 dan diesel bersubsidi sementara kerajaan jamin bekalan mencukupi.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, harga baharu itu ditetapkan berdasarkan formula Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM), selaras pergerakan pasaran minyak dunia yang menyaksikan harga Brent melonjak 16 peratus minggu lalu.

“Bagi tempoh 23 hingga 29 Julai 2026, harga RON97 tanpa subsidi meningkat 20 sen kepada RM4.20 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi naik pada kadar sama kepada RM3.62 seliter.

“Harga diesel tanpa subsidi pula meningkat 35 sen kepada RM4.42 seliter,” menurut MOF dalam satu kenyataan.

Menurut kementerian itu, pergerakan pasaran minyak dunia dipengaruhi konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang kembali memuncak selepas tempoh gencatan senjata berakhir.

Kenaikan harga minyak mentah turut didorong paras inventori global yang semakin ketat serta ancaman gangguan terhadap penghantaran minyak dari Arab Saudi.

Selain itu, sekatan terhadap perkapalan serta pengurangan aliran kapal melalui Selat Hormuz telah meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan petroleum global.

MOF berkata pasaran petroleum global dijangka kekal tidak menentu selagi penyelesaian konflik belum dimuktamadkan.

“Walaupun usaha menghidupkan semula rundingan dan cadangan gencatan senjata mengehadkan sebahagian kenaikan harga, perkembangan itu masih belum meredakan kebimbangan pasaran terhadap risiko gangguan bekalan,” menurut kementerian itu.

Bagaimanapun, harga RON95 bersubsidi menerusi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kekal RM1.99 seliter, manakala diesel di bawah BUDI MADANI Diesel ditetapkan pada RM2.10 seliter.

Harga bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pula kekal RM2.05 seliter, manakala Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.

Rakyat Malaysia yang layak boleh terus membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada kelayakan dan baki kelayakan bulanan masing-masing.

“Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat,” menurut kenyataan itu.

Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan tidak perlu JUGA dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.

“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” jelas MOF.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.