Skim Pembuatan Pintar sokong sasaran 3,000 kilang pintar NIMP 2030

Foto HIASAN

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Pelaksanaan Skim Pembuatan Pintar mampu membantu lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat industri pertengahan (MTC) untuk mendapatkan akses pembiayaan yang lebih baik bagi mempercepat transformasi ke arah Industri 4.0.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skim Pembuatan Pintar selaras dengan MBP 2.1 NIMP 2030, menyasarkan pembentukan 3,000 kilang pintar menjelang 2030.
  • FMM menekankan ujian sebenar ialah pelaksanaan mudah, kelulusan pantas dan kriteria layak yang membolehkan PKS serta syarikat pertengahan menyertai.
  • Penambahbaikan nisbah CoSIF kepada dua nisbah satu, tambahan peruntukan dan sokongan tenaga kerja mahir diperlukan untuk kejayaan transformasi Industri 4.0.

Presiden Persekutuan Pekilangan Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok berkata, skim strategik itu selaras dengan Projek Berasaskan Misi (MBP) 2.1 di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menyasarkan pembentukan 3,000 kilang pintar menjelang 2030.

“Ujian sebenar adalah pada pelaksanaannya, sejauh mana proses permohonan mudah diakses, seberapa cepat kelulusan diproses serta sama ada PKS dan syarikat industri pertengahan yang merupakan majoriti ahli kami dan juga majoriti sasaran 3,000 kilang itu, benar-benar dapat memenuhi syarat.

“FMM sedia bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk memastikan skim ini diterjemahkan kepada pengambilan yang sebenar dalam saluran MBP 2.1, bukan sekadar peruntukan yang diluluskan di atas kertas,” katanya ketika dihubungi RTM.

Tambah beliau, penambahbaikan nisbah pelaburan bersama di bawah Dana Pelaburan Strategik Bersama NIMP 2030 (CoSIF NIMP) kepada dua nisbah satu juga dapat mengurangkan beban modal syarikat, sekali gus menjadikan pelaburan dalam automasi dan teknologi kilang pintar lebih menarik.

“FMM menggalakkan kerajaan menambah peruntukan mengikut permintaan apabila MBP 2.1 berkembang, serta memastikan syarat kelayakan tidak terlalu terhad supaya syarikat pertengahan turut mendapat manfaat daripada skim ini,’ katanya lagi.

Dalam masa sama, katanya kejayaan transformasi Industri 4.0 bukan sahaja bergantung kepada akses pembiayaan, malah turut memerlukan ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi, sokongan teknikal kepada PKS serta keyakinan perniagaan yang berterusan.

Semalam, MITI dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan Skim Pembuatan Pintar untuk memudah cara akses modal yang lebih luas, menyokong pertumbuhan perniagaan PKS serta MTC dalam sektor strategik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.