
KUALA LUMPUR, 22 Julai- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) mencadangkan usaha mengurangkan birokrasi diperluas ke peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun bagi menyokong pertumbuhan serta daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
- Pengurangan birokrasi dapat mewujudkan persekitaran perniagaan lebih cekap, terutama dalam pengurusan lesen, permit dan proses operasi perniagaan.
- Sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus penglibatan rantaian bekalan tempatan bagi projek utama untuk membina keupayaan PKS secara berterusan.
- Peranan MPC melalui Nexus Produktiviti mesti diperkasa dan kerajaan-swasta perlu kerjasama untuk program pendigitalan serta peningkatan produktiviti mikro dan kecil.
Presidennya, Datuk William Ng berkata langkah berkenaan diyakini dapat membantu mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih cekap, khususnya dalam aspek pengurusan lesen, permit dan proses berkaitan operasi perniagaan.
Menurutnya, pencapaian Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia (IMD) yang meletakkan negara pada kedudukan ke-15 daripada 70 negara perlu diterjemahkan melalui manfaat yang dapat dirasai oleh komuniti perniagaan termasuk PKS.
“Justeru, SAMENTA mencadangkan agar usaha pengurangan birokrasi seterusnya turut memberi tumpuan kepada PBT dan badan-badan berkanun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Datuk William berkata kerajaan juga disaran memperkukuh penglibatan pembekal tempatan dalam rantaian bekalan pelaburan langsung asing (FDI) berteknologi tinggi bagi meningkatkan keupayaan industri tempatan.
“SAMENTA mencadangkan penanda aras sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus penglibatan rantaian bekalan tempatan bagi projek-projek utama, demi memastikan pelaburan syarikat multinasional dapat menyokong pembangunan keupayaan PKS tempatan secara berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata peranan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menerusi Nexus Produktiviti perlu terus diperkasa sebagai platform yang membantu menterjemahkan dasar kepada tindakan.
Katanya, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta juga penting dalam menyediakan program pendigitalan serta peningkatan produktiviti yang lebih bersasar kepada perusahaan mikro dan kecil.