
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka diniagakan dalam lingkungan RM4,400 hingga RM4,650 satu tan pada Ogos, disokong pelaksanaan mandat biodiesel B50 di Indonesia bermula Julai, pengukuhan pasaran tenaga serta prospek ekonomi biodiesel yang lebih baik.
- Ketegangan AS-Iran naikkan harga gasoil, menjadikannya lebih mahal berbanding minyak sawit dan minyak kacang soya.
- MPOC jangka kenaikan harga terhad akibat permintaan lembap dan paras stok minyak sayuran global yang masih tinggi.
- Pengeluaran Malaysia stabil; Jun meningkat berbanding bulan sebelumnya tetapi tiga peratus lebih rendah tahun ke tahun, stok meningkat.
- Eksport naik bulan ke bulan tetapi masih rendah tahun ke tahun disebabkan penggunaan lemak rendah di China dan India, minyak sawit kekal paling kompetitif.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) memaklumkan, ketegangan yang kembali memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menyebabkan harga minyak gas meningkat 30 peratus antara awal hingga pertengahan Julai, menjadikan bahan api itu lebih mahal berbanding minyak sawit dan minyak kacang soya.
Bagaimanapun, MPOC menjangkakan kenaikan harga akan kekal terhad berikutan permintaan yang masih perlahan serta paras stok minyak sayuran yang tinggi di pasaran utama dunia.
Menurut MPOC, prospek bekalan minyak sawit Malaysia dalam tempoh terdekat kekal positif apabila data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan pengeluaran stabil bagi separuh pertama 2026, manakala stok meningkat kepada 2.5 juta tan pada Jun.
“Pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat lapan peratus berbanding bulan sebelumnya kepada 1.63 juta tan pada Jun, sejajar dengan kitaran peningkatan bermusim yang lazimnya bermula pada Mac.
“Namun, pengeluaran itu masih tiga peratus lebih rendah berbanding Jun 2025, sekali gus mencatat penyusutan tahunan untuk bulan keempat berturut-turut,” kata MPOC.
Pada masa sama, eksport minyak sawit meningkat 6.1 peratus kepada 1.20 juta tan pada Jun berbanding Mei, namun jumlah tersebut masih empat peratus lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu.
Tambah MPOC, prestasi eksport yang lebih perlahan disebabkan penggunaan minyak dan lemak yang rendah di pasaran utama seperti China dan India, susulan kesan berterusan konflik di Asia Barat.
“Minyak sawit kekal sebagai minyak sayuran utama yang paling kompetitif dari segi harga, sekali gus berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan menjelang perayaan Deepavali,” menurut MPOC.