
PETALING JAYA, 21 Julai – Peranan pemandu e-hailing sebagai penghubung pertama antara pelancong dan negara terus diberi perhatian menerusi pelaksanaan inisiatif sokongan khas sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
- Program E-Hailing Heroes selama 12 bulan mensasarkan membantu sehingga 3,000 pemandu e-hailing di Lembah Klang fasa pertama.
- Pemandu disahkan mencapai 8,000 kilometer layak menebus baucar subsidi Castrol MAGNATEC RM80 untuk minyak, penapis dan kos upah.
- Inisiatif ini menyokong ekosistem pengangkutan sempena TMM2026 demi pengalaman pelancong lebih selesa, selamat dan mesra.
Inisiatif itu bertujuan membantu pemandu e-hailing memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik.
Sekali gus menjamin pengalaman perjalanan yang lebih selesa, selamat dan mesra kepada pelancong yang berkunjung ke Malaysia.
Menurut Pengarah Kanan Pengiklanan dan Digital Tourism Malaysia merangkap Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia, Mohd Akbal Setia, pemandu e-hailing memainkan peranan penting sebagai antara individu pertama yang berinteraksi dengan pelancong selepas mereka tiba di negara ini.
Katanya, perkhidmatan yang berkualiti daripada pemandu e-hailing mampu membentuk pengalaman positif pelancong selain menyokong aspirasi TMM2026 dalam memperkukuh sektor pelancongan negara.
“Tahniah dan terima kasih kepada Castrol kerana mengadakan satu kempen yang benar-benar bermakna kepada industri pelancongan negara.
“Bagi menyokong usaha ini, program E-Hailing Heroes diperkenalkan selama 12 bulan dengan sasaran membantu sehingga 3,000 pemandu e-hailing di Lembah Klang pada fasa pertama,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program berkenaan.
Menerusi program tersebut, pemandu yang disahkan telah mencapai jarak perjalanan sehingga 8,000 kilometer layak menebus baucar RM80 untuk pakej servis Castrol Magnatec.
Program berkenaan mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM) sebagai sebahagian usaha memperkasa ekosistem perkhidmatan pengangkutan sempena TMM2026.