RUU Jenayah Siber 2026 diluluskan Dewan Negara

Gambar Fail

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Jenayah Siber 2026 selepas ia dibahaskan oleh 21 ahli dewan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Digubal berteraskan pendekatan teknologi neutral untuk memastikan undang-undang kekal relevan tanpa perlu pindaan kerap.
  • Melengkapkan Akta Keselamatan Siber 2024 dan MCSS 2025-2030 bagi ekosistem digital lebih selamat, berdaya tahan dan berdaulat.
  • Tidak mengawal teknologi seperti AI secara khusus; memberi tumpuan kepada tindakan terhadap penyalahgunaan untuk penipuan, manipulasi pilihan raya dan eksploitasi seksual.
  • Kesalahan di bawah RUU memenuhi syarat ekstradisi dan Fasal 54 membolehkan perintah restitusi serta sekatan harta untuk lindungi mangsa.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, ia digubal berteraskan pendekatan teknologi neutral bagi memastikan kekal relevan dalam mendepani perkembangan teknologi pada masa hadapan tanpa memerlukan pindaan yang kerap di Parlimen.

Jelasnya, RUU tersebut turut melengkapkan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) serta Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2025-2030 dalam usaha membina ekosistem digital yang lebih selamat, berdaya tahan dan berdaulat.

“RUU Jenayah Siber 2026 ini tidak mengawal selia teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) atau teknologi mendalam (deep tech) secara khusus. Sebaliknya, ia memberi tumpuan kepada tindakan undang-undang terhadap penyalahgunaan teknologi tersebut bagi tujuan jenayah seperti penipuan, manipulasi pilihan raya dan eksploitasi seksual.

“Kerajaan juga memberi jaminan bahawa penguatkuasaan RUU ini tidak akan menyekat kebebasan bersuara, kebebasan media mahupun penyelidikan akademik yang dijalankan secara sah di sisi undang-undang,” katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Negara.

Mengulas aspek penguatkuasaan rentas sempadan, beliau menegaskan kesemua kesalahan di bawah RUU itu secara automatik memenuhi syarat untuk diekstradisi mengikut Akta Ekstradisi 1992 (Akta 479).

Katanya, hukuman penjara minimum tiga tahun yang diperuntukkan di bawah RUU tersebut melepasi syarat ekstradisi negara yang menetapkan kesalahan boleh dihukum penjara sekurang-kurangnya setahun.

“Bagi pengumpulan bukti digital yang melibatkan bidang kuasa luar negara, kerajaan akan menggunakan peruntukan di bawah Akta Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah 2002 (Akta 621),” katanya.

Beliau turut menolak kebimbangan berhubung kemungkinan salah guna kuasa oleh agensi penguat kuasa dengan menjelaskan bahawa mekanisme semak dan imbang telah disediakan melalui Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Selain itu, kuasa pemintasan komunikasi tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya kerana memerlukan kelulusan bertulis daripada Pendakwa Raya yang diturunkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Kanan.

Dalam aspek perlindungan mangsa pula, Fasal 54 RUU berkenaan memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah restitusi serta perintah sekatan harta bagi mengelakkan hasil jenayah atau wang penipuan dipindahkan atau dilesapkan oleh suspek.

Menyentuh usaha meningkatkan kesedaran awam, Jawatankuasa Penyelarasan Kesedaran Keselamatan Siber telah melaksanakan sebanyak 4,111 program sepanjang tahun 2025 yang memberi manfaat kepada lebih 3.8 juta rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

RUU Jenayah Siber 2026 yang mengandungi lapan bahagian dan 61 fasal itu digubal bagi memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 sekali gus memperkukuh kerangka perundangan negara dalam menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks serta selari dengan perkembangan teknologi semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.