PRN NS: Gerakan pecat Tang Jay Son selepas bertanding atas tiket Bersatu

Tang Jay Son (kanan) ketika proses penamaan calon di DUN N.22 Rahang pagi tadi./ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) memecat keahlian Tang Jay Son berkuat kuasa serta-merta selepas beliau bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gerakan memecat Tang Jay Son, menamatkan keahliannya susulan beliau bertanding menggunakan tiket parti lain.
  • Setiausaha Agung Wong Chia Zhen berkata tindakan Tang melanggar disiplin parti dan Perlembagaan Gerakan.
  • Tang diumumkan sebagai calon Bersatu bagi kerusi DUN Rahang pada hari penamaan calon.
  • Beliau berdepan pertandingan empat penjuru menentang calon PH, BN dan PSM.

Setiausaha Agung Gerakan, Wong Chia Zhen berkata tindakan Tang merupakan pelanggaran disiplin parti yang serius kerana bertentangan dengan prinsip kesetiaan terhadap parti serta melanggar Perlembagaan Gerakan.

Menurut beliau, setiap ahli parti bertanggungjawab mematuhi perlembagaan parti, menghormati keputusan organisasi serta memelihara disiplin dan integriti parti dalam apa jua keadaan.

“Gerakan ingin menegaskan bahawa mana-mana ahli yang bertindak bertentangan dengan kepentingan parti akan dikenakan tindakan disiplin yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tang hari ini diumumkan sebagai calon Bersatu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang pada hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan ke-16.

Beliau berdepan pertandingan empat penjuru menentang penyandang daripada Pakatan Harapan (PH) Siau Meow Kong, calon Barisan Nasional (BN) Yap Siok Moy, serta calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Tinagaran.

Pemecatan itu sekali gus menamatkan keahlian Tang dalam Gerakan susulan tindakannya bertanding menggunakan tiket parti lain.

Tempoh berkempen PRN Negeri Sembilan ke-16 bermula hari ini selepas selesai proses penamaan calon 10 pagi tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Julai sebagai hari pengundian awal dan 1 Ogos sebagai hari pengundian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.