Teliti semula rangka kerja pentauliahan penceramah agama di media sosial langkah proaktif

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zamri Zainal Abidin  Foto BERNAMA 

PUTRAJAYA, 16 Julai – Cadangan kerajaan untuk meneliti semula rangka kerja pentauliahan penceramah agama dalam talian dan media sosial ialah langkah proaktif bagi memastikan ketepatan ajaran, kredibiliti penyampai dan kesucian sumber rujukan agama terus terpelihara di ruang digital, yang kini menjadi medan dakwah paling meluas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Meneliti semula pentauliahan bertujuan memastikan ketepatan ajaran tanpa menyekat ruang dakwah atau menyusahkan penceramah ikhlas.
  • Tanpa pentauliahan, sesiapa boleh mengaku "ustaz", membuka ruang penyelewengan fakta dan eksploitasi kepercayaan.
  • Kekeliruan meluas menjejaskan golongan muda yang rujuk media sosial dan merosakkan kepercayaan awam kepada institusi agama.
  • YADIM menyokong usaha ini, sedia menjadi rakan strategik dan telah mengamalkan standard serta memberi tauliah.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zamri Zainal Abidin berkata cadangan itu sekiranya dilaksanakan bukan bertujuan menyekat ruang dakwah atau menyusahkan mana-mana individu yang ikhlas menyampaikan ilmu.

“Tanpa langkah ini, sesiapa sahaja boleh mendakwa diri sebagai “ustaz” atau “pendakwah” dalam media sosial tanpa asas ilmu yang sahih, lantas membuka ruang kepada penyelewengan fakta dan eksploitasi kepercayaan orang ramai.

“Apabila kekeliruan ini dibiarkan berleluasa, masyarakat awam, khususnya golongan muda yang mendapatkan rujukan agama menerusi media sosial akan lebih terdedah kepada mesej agama yang tidak sahih, akhirnya menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi agama itu sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zamri memaklumkan YADIM menyambut baik dan menyokong penuh cadangan untuk meneliti semula rangka kerja pentauliahan penceramah agama dalam talian dan media sosial sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, baru-baru ini.

“Sebagai agensi dakwah di bawah Jabatan Perdana Menteri, YADIM sedia menjadi rakan strategik kerajaan dalam merealisasikan usaha ini.

“Malah, YADIM sendiri telah lama mengamalkan standard ini, pendakwah keluaran YADIM seperti para Daie Muda YADIM contohnya menerima tauliah daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sebagai nilai tambah untuk mereka,” katanya. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.