
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Keputusan penting Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak lagi bergantung kepada seorang individu, sebaliknya dibuat menerusi sistem semak dan imbang yang lebih telus, kolektif dan berteraskan tadbir urus yang baik.
- Keputusan DBKL kini dibuat secara kolektif berteraskan tadbir urus yang baik, menggantikan model bergantung kepada seorang individu.
- Kuasa Datuk Bandar untuk meluluskan sumbangan dihadkan kepada maksimum RM3,000; permohonan lebih perlu dibincang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi.
- Pemerkasaan Lembaga Penasihat melalui Jawatankuasa Sumbangan, Audit dan Tatakelola serta penubuhan lima Jawatankuasa Pemantauan Belanjawan.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada reformasi tatakelola yang dilaksanakan susulan Kajian Kebolehlaksanaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, reformasi itu bertujuan memperkukuh tadbir urus dan integriti dalam pentadbiran DBKL.
“Pendekatan reformasi ini bertujuan mengubah budaya kerja daripada model keputusan berasaskan individu yang banyak tertumpu kepada kuasa Datuk Bandar sebelum ini kepada model yang berteraskan prinsip tadbir urus yang baik, keputusan secara kolektif dan integriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Hannah, kuasa Datuk Bandar untuk meluluskan sumbangan kini dihadkan kepada maksimum RM3,000, manakala permohonan yang melebihi jumlah itu perlu dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi untuk dipertimbangkan secara kolektif.
Beliau berkata, DBKL turut menubuhkan lima Jawatankuasa Pemantauan Belanjawan yang dipengerusikan Ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur serta memperkenalkan mesyuarat konsultasi yang dipengerusikan bersama oleh Pengarah Eksekutif DBKL dan Ahli Parlimen.
Selain itu, peranan Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur diperkasa menerusi penubuhan Jawatankuasa Sumbangan, Jawatankuasa Audit serta Jawatankuasa Tatakelola dan Integriti bagi mengurangkan konflik kepentingan serta memperkukuh pengawasan institusi.
Jawatankuasa Audit DBKL yang sebelum ini dipengerusikan oleh Datuk Bandar juga tidak lagi dipengerusikan oleh individu yang mengetuai pentadbiran DBKL.