
JELEBU, 16 Julai – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai tambahan peruntukan RM150 juta bagi mempercepat pelaksanaan Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) disambut baik warga FELDA yang berharap ia dapat mempercepat penyerahan rumah kepada pemilik.
- Percepatan kerja akhir dan penyelesaian tebatan banjir diperlukan untuk mempercepatkan penyerahan rumah kepada pembeli.
- Warga FELDA lega dan berharap kunci rumah diserahkan segera selepas penantian hampir 17 tahun oleh generasi kedua.
- Rumah PGBF penting untuk membolehkan generasi kedua menetap, membina keluarga dan mewarisi tanah rancangan.
Tinjauan RTM di Projek PGBF Pasoh 2 mendapati pembeli berharap peruntukan itu dapat mempercepat kerja-kerja akhir projek, termasuk penyelesaian isu tebatan banjir yang menyebabkan proses penyerahan rumah tertangguh ketika projek hampir memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Generasi kedua FELDA Pasoh 2, Mohd Izzuan Mohd Nor berkata, pengumuman itu memberi kelegaan kepada pembeli yang sekian lama menunggu rumah diserahkan.
“Kami berasa amat lega dan berharap proses penyerahan ini dapat dipercepatkan kerana kebanyakan kami tidak mempunyai rumah lain dan sudah lama menunggu rumah ini. Kami berharap hasrat itu dapat direalisasikan,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pasoh 2, Mohd Azlan Ismail berharap proses penyerahan kunci rumah dapat disegerakan, selain isu tebatan banjir yang menjadi punca kelewatan dapat diselesaikan.
“Berdasarkan pengumuman itu, saya berharap proses penyerahan kunci rumah dapat dilaksanakan secepat mungkin serta menyelesaikan isu tebatan banjir yang menjadi punca gangguan kepada proses penyerahan,” katanya.
Bagi Ketua RELA Pasoh 2, Mohd Shahadan Ramli, penantian hampir 17 tahun sebagai penyewa diharap berakhir apabila rumah berkenaan diserahkan kepada pemilik.
“Saya selaku generasi kedua sudah menyewa hampir 17 tahun. Alhamdulillah, kami berharap dapat menerima kunci rumah dan terus menetap di rumah sendiri,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia FELDA Malaysia Pasoh 2, Yasirruddin Hashim berkata, penyediaan rumah kepada generasi kedua penting bagi memastikan mereka dapat terus menetap dan mewarisi tanah rancangan.
“Kami perlukan tempat tinggal untuk membina keluarga sendiri. Dengan adanya rumah PGBF ini, ia menjadi sebab untuk kami kembali ke kampung dan mewarisi tanah yang ada di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Peneroka Pasoh 2, Roslan Abdul Majid berkata projek PGBF Pasoh 2 yang bermula pada 2014 membabitkan 70 unit rumah siap dibina pada 2024, namun penyerahannya tertangguh akibat banjir kilat.
“Ekoran pengumuman Perdana Menteri untuk menampung kos pembinaan tebatan banjir, kami berharap perumahan ini dapat diselesaikan dengan segera demi anak-anak FELDA,” katanya.