Kementerian Perpaduan Negara lancar dua pelan strategik pacu agenda pembinaan negara bangsa

Datuk Aaron Ago Dagang menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Strategik dan Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) 2026-2030 

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Kementerian Perpaduan Negara melancarkan dua pelan strategik sebagai dokumen rujukan utama dalam menetapkan hala tuju kementerian bagi tempoh lima tahun akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan Strategik KPN 2026–2030 menekankan pemerkasaan nilai kebangsaan, integrasi sosial dan pemeliharaan warisan sebagai tunjang pembinaan negara.
  • Pelan baharu menambah agenda pendigitalan dan tadbir urus sambil mengekalkan teras patriotisme, pembinaan negara dan komuniti perpaduan.
  • Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) merangkumi strategi, program dan subprogram untuk menyokong transformasi digital kementerian.
  • Fokus PSP pada perkhidmatan digital bersepadu, infrastruktur digital selamat dan tadbir urus digital serta pemerkasaan keupayaan ICT.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang memaklumkan, pelan pertama adalah Pelan Strategik Kementerian Perpaduan Negara (KPN) 2026–2030 yang menggariskan lima teras, 12 strategi dan 33 inisiatif yang akan dilaksanakan secara berfasa bagi memperkukuh agenda pembinaan negara bangsa.

Jelasnya, ia menjadi aspirasi kementerian untuk memperkasakan nilai kebangsaan, memperkukuh tapak integrasi sosial serta melestarikan khazanah warisan sebagai tunjang pembinaan negara bangsa.

“Pelan Strategik 2026 hingga 2030 ini merupakan kesinambungan daripada pelan strategik sebelum ini. Bezanya, dalam pelan baharu ini kita menambah dua agenda utama, iaitu pendigitalan dan tadbir urus.

“Namun, teras utama kementerian seperti patriotisme, pembinaan negara bangsa, komuniti perpaduan dan ekosistem perpaduan tetap dikekalkan,” katanya.

Pelan kedua pula adalah Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) KPN 2026-2030 yang merangkumi 7 strategi, 21 program dan 55 subprogram bagi menyokong agenda transformasi digital.

Kedua-dua pelan itu menjadi dokumen panduan hala tuju kementerian bagi tempoh lima tahun akan datang dalam memperkukuh agenda perpaduan negara.

Beliau melancarkan kedua-dua pelan berkenaan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan KPN di Jabatan Muzium Negara, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Aaron optimis PSP KPN 2026-2030 mampu membangunkan ekosistem digital yang lebih sistematik dan berdaya saing.

Pelan itu berteraskan tiga fokus utama, iaitu pemerkasaan ekosistem penyampaian perkhidmatan digital bersepadu, pengukuhan infrastruktur digital berasaskan teknologi terkini dan selamat, serta pengukuhan tadbir urus digital dan pemerkasaan keupayaan ICT.

“Pelan Strategik Pendigitalan ini turut melibatkan semua agensi dan jabatan di bawah Kementerian Perpaduan Negara. Malah, banyak program yang dirangka juga selaras dengan agenda pendigitalan kementerian. Bukan sahaja Kementerian Perpaduan Negara malah semua kementerian di seluruh kerajaan Malaysia kini menuju ke arah transformasi digital berteraskan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.