Dua murid SK Sisipan wakili Malaysia Ke Pertandingan Dron Antarabangsa

Muhammad Hazriq Iskandar Abdullah dan Nur Halinah Atikah Mohd Moktar bergambar bersama Menteri MOSTI/Foto Facebook

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sisipan, Pulau Bum-Bum, Semporna, Sabah dipilih mewakili Malaysia ke Pertandingan Dron Antarabangsa PilotX di Hong Kong.

RINGKASAN BERITA AI
  • Muhammad Hazriq Iskandar Abdullah dan Nur Halinah Atikah Mohd Moktar dipilih selepas menyertai Program Outreach Malaysia Techlympics.
  • Program memberi pendedahan kepada mereka dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik serta teknologi dron.
  • MOSTI Datuk Chang Lih Kang kata bakat anak Malaysia tidak terhad kepada kawasan bandar dan pedalaman.
  • Beliau menyampaikan jaket kontinjen sebagai simbolik pelepasan; pertandingan menghimpunkan peserta dari Hong Kong, China, Indonesia dan Mexico.

Muhammad Hazriq Iskandar Abdullah dan Nur Halinah Atikah Mohd Moktar dipilih selepas menyertai Program Outreach Malaysia Techlympics.

Program itu memberi pendedahan kepada mereka dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta teknologi dron.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Chang Lih Kang berkata, pemilihan kedua-dua murid itu membuktikan bakat anak Malaysia tidak terhad kepada kawasan bandar, malah mampu digilap di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Kisah mereka adalah bukti bahawa bakat anak Malaysia tidak mengenal batas geografi. Daripada sebuah sekolah di kawasan pedalaman, mereka kini berpeluang membawa Jalur Gemilang ke pentas antarabangsa.

“Inilah matlamat sebenar Malaysia Techlympics. Kita tidak mahu bakat hanya ditemui di bandar-bandar besar.

“Kita mahu mencari, menyemai dan membangunkan bakat di seluruh negara supaya setiap anak Malaysia, tanpa mengira latar belakang atau lokasi, mempunyai peluang yang sama untuk menyerlah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dua murid SK Sisipan, Semporna bakal mewakili Malaysia ke Pertandingan Dron Antarabangsa PilotX di Hong Kong/Foto Facebook

Pertandingan itu akan menghimpunkan peserta dari Hong Kong, China, Malaysia, Indonesia dan Mexico.

Terdahulu, beliau menyampaikan jaket kontinjen Malaysia kepada kedua-dua murid berkenaan sebagai simbolik pelepasan mereka ke pertandingan tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.