
WASHINGTON, 15 Julai – Washington akan menggantikan cadangan fi pampasan 20 peratus terhadap kapal yang melalui Selat Hormuz dengan perjanjian perdagangan dan pelaburan bersama negara-negara Teluk.
- Selat Hormuz dibuka kepada semua kapal kecuali yang berkaitan Iran; sekatan laut terhadap Iran diteruskan.
- Trump memberitahu Kongres AS bahawa operasi ketenteraan terhadap Iran disambung semula.
- Serangan udara AS dan tindak balas Iran menyebabkan konflik terbuka; pegawai Iran dakwa MoU 14 perkara tidak lagi sah.
- Beberapa kapal dagang diserang di Selat Hormuz; AS melancarkan serangan balas dan Jabatan Perbendaharaan kenakan sekatan baharu terhadap Iran.
Menerusi hantaran di platform Truth Social, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan yang disifatkannya produktif dengan pemimpin Asia Barat.
“Berdasarkan perbincangan yang sangat produktif dengan kepimpinan Asia Barat, saya memutuskan untuk menggantikan fi pampasan 20 peratus Amerika Syarikat dengan perjanjian perdagangan dan pelaburan yang akan dibuat negara-negara Teluk dengan Amerika Syarikat,” katanya.
Menurut Trump, Selat Hormuz akan kekal terbuka kepada semua kapal kecuali kapal yang mempunyai kaitan dengan Iran, manakala sekatan laut terhadap negara itu akan diteruskan.
“Selat Hormuz dibuka kepada semua kapal kecuali Iran. Oleh itu, kita akan melaksanakan sekatan penuh, tetapi hanya terhadap kapal yang datang dari atau menuju ke pelabuhan Iran, atau membawa sebarang kargo berkaitan Iran,” katanya.
Keputusan itu dibuat sehari selepas Trump mencadangkan pengenaan fi 20 peratus terhadap kapal yang menggunakan laluan strategik berkenaan sebagai bayaran balik kepada AS kerana melindungi keselamatan Selat Hormuz.
Trump turut memaklumkan bahawa beliau secara rasmi telah memberitahu Kongres pada Jumaat bahawa AS menyambung semula operasi ketenteraan terhadap Iran.
Serangan udara terbaharu AS dan tindak balas Iran menyebabkan kedua-dua negara kembali berdepan konflik terbuka kurang sebulan selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) 14 perkara bertujuan menamatkan perang.
Sementara itu, penasihat kanan Pemimpin Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei berkata dalam hantaran media sosial bahawa AS telah menyambung semula peperangan serta melanggar terma MoU Iran-AS selepas mengenakan semula sekatan terhadap Tehran dan mengaktifkan semula sekatan laut.
Beliau mendakwa tindakan itu menyebabkan MoU berkenaan tidak lagi sah.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa kapal dagang dilaporkan diserang di Selat Hormuz sejak beberapa hari lalu, manakala tentera AS kembali melancarkan serangan terhadap Iran yang didakwanya sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas kapal komersial.
Pada 10 Julai lalu, Jabatan Perbendaharaan AS mengumumkan pusingan baharu sekatan terhadap Iran susulan “serangan Iran terhadap kapal dagang yang melalui Selat Hormuz”.- REUTERS