
MAINE, 15 Julai – Sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di luar pejabat Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) di Scarborough, Maine pada Selasa, sehari selepas seorang pegawai agensi itu menembak mati seorang lelaki warga Colombia ketika pemeriksaan kenderaan di Biddeford.
- Aktivis dan wakil rakyat gesa penggantungan operasi ICE, keluarkan agensi dari Maine dan hentikan pembiayaan persekutuan.
- Pihak berkuasa diarah jalankan siasatan menyeluruh; aktivis mahukan pendakwaan terhadap pegawai bertanggungjawab.
- DHS mendakwa pegawai menembak kerana bimbang keselamatan awam, namun tiada rakaman atau penjelasan jelas tentang keperluan penggunaan daya maut.
- Presiden Colombia dan keluarga mangsa seru tindakan diplomatik dan undang-undang; insiden tambah kepada sekurang-kurangnya tujuh kematian sejak Jan 2025.
Bantahan berkenaan berlaku ketika ICE mengambil langkah menggantung sebahagian besar operasi pemeriksaan kenderaan di seluruh negara.
Wakil Demokrat Maine, Sophie Warren yang mewakili sebahagian kawasan Scarborough menyifatkan tindakan agensi tersebut sebagai “tidak terkawal” dan menggesa ICE dikeluarkan dari Maine serta pembiayaan agensi berkenaan dihentikan di peringkat kebangsaan.
Sementara itu, Pengurus Komunikasi Gabungan Hak Imigran Maine, Panagioti Tsolkas berkata, orang ramai tidak sepatutnya berasa bimbang nyawa mereka terancam hanya ketika memandu kenderaan.
“Di seluruh Maine, ramai indicidu mengalami masalah sama terutama komuniti pendatang yang berdepan ketakutan dan ancaman,” katanya.
Beliau turut menggesa siasatan menyeluruh dijalankan dan pihak berkuasa negeri mempertimbangkan tindakan pendakwaan terhadap pihak bertanggungjawab.
Chef eksekutif dari Biddeford, Kyle Billings, 29, berkata kebanyakan kakitangan bukan warga AS dan kejadian itu memberi kesan mendalam kepadanya kerana berlaku berhampiran tempat kerja serta kediaman mereka.
“Kami tidak mahu ICE berada di Maine dan kami tidak mahu ICE berada di Amerika Syarikat,” katanya.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) AS dalam satu kenyataan hampir 12 jam selepas kejadian mendakwa pegawai berkenaan melepaskan tembakan kerana bimbang terhadap keselamatan awam apabila pemandu cuba melarikan diri.
Bagaimanapun, pihak berkuasa belum menjelaskan bagaimana pemandu terbabit boleh dianggap mengancam keselamatan awam atau sama ada keadaan itu membenarkan penggunaan senjata api.
Mengikut dasar ICE, pegawai hanya dibenarkan menggunakan kekerasan maut apabila wujud “bahaya yang boleh menyebabkan kecederaan serius atau kematian” terhadap pegawai atau individu lain, dan bukan semata-mata bagi menghalang suspek melarikan diri.
Walaupun beberapa rakaman selepas kejadian telah tersebar, tiada rakaman awam menunjukkan detik sebenar tembakan berlaku.
Senator bebas Maine, Angus King yang bekerjasama dengan Demokrat berkata, pegawai ICE yang terlibat tidak memakai kamera badan ketika operasi itu.
DHS berkata, pegawai sedang memantau alamat terakhir seseorang yang dikenakan arahan pengusiran muktamad dari negara itu. Apabila individu terbabit meninggalkan kediaman tersebut, pegawai kemudian mengekori kenderaan itu.
Bagaimanapun, Setiausaha DHS, Markwayne Mullin memaklumkan kepada King bahawa lelaki yang terbunuh itu bukan sasaran operasi berkenaan.
Presiden Colombia, Gustavo Petro menerusi hantaran di platform X menyalahkan kerajaan AS atas kematian lelaki terbabit yang dikenal pasti sebagai Johan Sebastian Duran.
Petro menyifatkan kejadian itu sebagai pembunuhan warga Colombia dan Amerika Latin yang dilakukan kerajaan AS, selain menggesa perkhidmatan diplomatik Colombia di AS mengambil tindakan undang-undang serta kemanusiaan segera bagi memastikan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan.
Menurut laporan media tempatan, Duran yang berasal dari Bucaramanga, Colombia mempunyai pasangan serta seorang anak perempuan kecil dan melakukan dua pekerjaan termasuk sebagai penghantar makanan.
Penduduk berhampiran memaklumkan kepada akhbar Portland Press Herald bahawa pasangan dan anak perempuan mangsa yang menyaksikan keadaan itu menangis di jalan raya.
Sementara itu, data dalaman ICE menunjukkan jumlah tangkapan imigresen di Maine meningkat lebih empat kali ganda sejak awal Jun kepada kira-kira 70 tangkapan sehari pada awal Julai.
Kejadian tembakan maut pada Isnin itu, bersama satu lagi insiden minggu lalu di Houston, menjadikan sekurang-kurangnya tujuh individu maut ditembak dalam operasi penguatkuasaan imigresen sejak Januari 2025.
Perkara itu berlaku selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kembali memegang jawatan dan melancarkan kempen pengusiran besar-besaran.- REUTERS