
PUTRAJAYA, 14 Julai – Penyertaan enam pelajar politeknik dalam FIRA RoboWorld Cup & Summit 2026 di Kanada membuka ruang kepada mereka menguasai inovasi masa hadapan, sekali gus menyokong hasrat Malaysia menjadi pencipta teknologi.
- Kementerian memperkasa bakat pelajar dalam teknologi dan TVET, memberi peluang luas untuk meneroka dan mencuba dalam sektor pembuatan serta latihan vokasional.
- Pertandingan menguji kemahiran kejuruteraan, pengaturcaraan, AI, integrasi sistem dan penyelesaian masalah secara autonomi.
- Matlamatnya menjadikan Malaysia pencipta teknologi; pelajar TVET dilihat sebagai pemimpin penting untuk menerajui transformasi ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim berkata penyertaan itu mencerminkan usaha kementerian memperkasa bakat pelajar dalam bidang teknologi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kita memberi ruang seluas-luasnya untuk mereka meneroka, mencuba dan menyertai sektor pembuatan serta TVET. Kita berharap lebih ramai akan mencontohi mereka dan banyak lagi program lain yang mahu kita galakkan.
“Kita tidak mahu lagi menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mahu menjadi pencipta teknologi dan pelajar ini merupakan individu penting dalam menerajui sektor TVET,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Kontinjen Malaysia ke FIRA RoboWorld Cup & Summit 2026, di sini.
Kejohanan edisi ke-31 yang berlangsung dari 17 hingga 21 Julai di Markham, Ontario itu disertai enam pelajar dan dua pensyarah pengiring daripada Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Politeknik Port Dickson (PPD) serta Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS).
Mereka akan bertanding dalam kategori HuroCup, FIRA Air dan Cabaran Kereta Autonomi yang menguji kemahiran dalam bidang kejuruteraan, pengaturcaraan, kecerdasan buatan (AI), integrasi sistem serta penyelesaian masalah secara autonomi.
Kontinjen Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) membawa rekod pencapaian 13 pingat pada edisi sebelum ini di Korea Selatan, terdiri daripada lima emas, tiga perak dan lima gangsa.
Pada FIRA RoboWorld Cup & Summit 2024 di Brazil, pasukan Politeknik Port Dickson turut meraih Anugerah Pemula Niaga Teknikal Terbaik bagi kategori Inovasi dan Perniagaan.