
ALOR SETAR, 14 Julai – Kes buli di Kedah menunjukkan penurunan ketara apabila hanya tujuh kes direkodkan sepanjang enam bulan pertama tahun ini berbanding 43 kes bagi keseluruhan tahun lalu.
- Penurunan dipercayai hasil usaha pencegahan, termasuk kempen antibuli di sekolah, masyarakat dan melalui media.
- Kawasan Kuala Muda, Kulim dan Kubang Pasu masih merekodkan jumlah kes buli tertinggi di negeri.
- Ketua Polis Kedah menyatakan penurunan sangat drastik ketika sidang media di IPK Kedah.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, penurunan jumlah kes yang dilaporkan kepada polis dipercayai hasil pelbagai usaha pencegahan, termasuk kempen antibuli yang dilaksanakan di sekolah, dalam kalangan masyarakat dan menerusi media.
“Ini menunjukkan penurunan sangat drastik. Kalau ikut pola tahun lepas, 43 kes, maka dalam tempoh enam bulan sekurang-kurangnya 20 kes. Namun, tahun ini hanya tujuh kes sahaja,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata daerah Kuala Muda, Kulim dan Kubang Pasu masih merekodkan jumlah kes buli tertinggi berbanding daerah lain di negeri itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini.