
PUTRAJAYA, 13 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan enam syor penambahbaikan tatakelola pengurusan dan penyaluran bantuan kewangan bagi inisiatif penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
- Mensyaratkan RIBI pemohon bantuan didaftarkan di bawah ROS atau diiktiraf secara sah mengikut undang-undang agama
- Mengehadkan pelanjutan tempoh pelaksanaan projek hanya untuk keadaan luar jangka dengan justifikasi munasabah
- Menetapkan prosedur pemulangan dana tidak dibelanjakan serta tindakan jika penerima melanggar syarat permohonan
- Memperkukuh pemantauan melalui borang perincian kerja komprehensif dan laporan tapak bergambar oleh Pasukan Teknikal
Syor berkenaan dikemukakan SPRM Negeri Sembilan kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT, Zulkeflee Sulaiman yang mewakili Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Dr. M. Noor Azman Taib, dalam sesi pembentangan di Putrajaya hari ini.
Cadangan itu dikemukakan susulan siasatan tatakelola SPRM Negeri Sembilan yang mengesan beberapa RIBI gagal melaksanakan projek penyelenggaraan walaupun telah menerima peruntukan daripada KPKT.
Antara syor utama ialah menambah baik Garis Panduan KPKT dengan mensyaratkan setiap RIBI yang memohon bantuan berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) atau diiktiraf sebagai pertubuhan RIBI yang sah mengikut peruntukan undang-undang agama.
SPRM turut mencadangkan supaya pelanjutan tempoh pelaksanaan projek (EOT) hanya dibenarkan dalam keadaan luar jangka yang mempunyai justifikasi munasabah.
Selain itu, prosedur khusus turut disyorkan bagi mengurus pemulangan dana bantuan yang tidak dibelanjakan atau sekiranya penerima didapati melanggar syarat permohonan.
Bagi memperkukuh aspek pemantauan, SPRM mengesyorkan penyediaan borang perincian kerja pembaikan yang lebih komprehensif serta borang laporan pemantauan fizikal di tapak oleh Pasukan Teknikal yang disertakan dengan dokumentasi bergambar sebagai bukti lawatan.
Zulkeflee menyambut baik keenam-enam syor yang dikemukakan sebagai langkah memperkukuh integriti, tatakelola dan kawalan dalaman kementerian. Beliau turut bersetuju menerima cadangan berkenaan serta menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang disaksikan Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg. Ismail.