Harga Beras Putih Tempatan tidak dinaikkan, bekalan makanan ruji mencukupi

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Kerajaan menetapkan harga Beras Putih Tempatan (BPT) dikekalkan, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Stok penimbal beras mampu menampung keperluan domestik selama enam bulan.
  • Keutamaan memastikan bekalan asas tidak terputus dan elak kenaikan harga tidak munasabah.
  • Sejumlah RM45.98 juta diagihkan melalui Insentif Pembajakan kepada 118,908 pesawah.
  • KPKM mempelbagaikan sumber baja, memperkukuh bantuan kepada pesawah dan menambah baik kawal selia industri.

Jelas beliau, bekalan makanan ruji negara berada pada tahap stabil dan mencukupi dengan stok penimbal beras ketika ini mampu menampung keperluan domestik bagi tempoh enam bulan.

“Dalam keadaan global tidak menentu, keutamaan kita adalah memastikan bekalan asas tidak terputus dan rakyat tidak dibebani dengan kenaikan harga yang tidak munasabah,” katanya pada taklimat krisis bekalan global di sini, hari ini.

Beliau berkata perkara itu antara yang dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Akmal Nasrullah berkata, pelbagai bantuan disalur bagi membantu pesawah yang terjejas dengan perubahan cuaca dan peningkatan kos pengeluaran.

“Sehingga semalam sebanyak RM45.98 juta diagihkan menerusi Insentif Pembajakan Kepada Pesawah, melibatkan 118,908 pesawah di Semenanjung Malaysia.” jelasnya.

Beliau berkata kerajaan juga mengambil serius risiko kenaikan harga baja, dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mempelbagaikan sumber input, memperkukuh bantuan kepada pesawah serta menambah baik kawal selia industri.

MTEN turut mengarahkan pemantauan lebih rapi terhadap cuaca panas dan paras air empangan supaya langkah mitigasi dapat digerakkan sebelum keadaan itu menjejaskan pengeluaran serta bekalan kepada pengguna.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.