
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus menjadi pilihan industri apabila ditawarkan pekerjaan dengan gaji premium hasil kerjasama strategik antara institusi TVET dan syarikat.
- Penyelarasan awal dengan pihak industri memastikan kursus TVET disesuaikan dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
- Pendekatan itu mengatasi ketidakpadanan bidang pengajian dan mencapai kadar kebolehpasaran graduan TVET KKDW 100 peratus.
- Latihan dipertingkatkan termasuk bimbingan pakar dan latihan luar negara sebagai persediaan kompetitif menuju WorldSkills Shanghai 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyelarasan bersama pihak industri dilaksanakan lebih awal bagi memastikan kursus yang ditawarkan memenuhi keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
Menurut beliau, pendekatan itu berjaya mengatasi ketidakpadanan antara bidang pengajian dan keperluan industri, sekali gus membolehkan kadar kebolehpasaran graduan TVET di bawah KKDW mencecah 100 peratus.
“Sekarang ini gaji premium memang ditawarkan kepada graduan TVET oleh syarikat dan industri.
“Apa yang kami lakukan ialah mengadakan rundingan terlebih dahulu dengan syarikat dan pihak industri mengenai kursus yang dijalankan oleh institusi TVET supaya bersesuaian dengan bidang pekerjaan di syarikat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat bersama kontinjen TVET@KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) ke Worldskills Shanghai 2026 di sini hari ini.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata, KKDW akan terus memberi tumpuan kepada kursus berimpak tinggi bagi memenuhi permintaan industri terhadap tenaga kerja mahir.
Sementara itu, jurulatih negara bagi Digital Construction, Mohamad Fazil Jamaluddin berkata, program itu membantu meningkatkan keyakinan dan semangat peserta sebagai persediaan menghadapi pertandingan WorldSkills Shanghai 2026.
“Sebelum ini peserta kita berjaya meraih pengiktirafan Best of Nation dan pingat emas di peringkat Asia.
“Sebagai persediaan menghadapi pertandingan seterusnya, latihan dipertingkatkan di Kolej TVET MARA dengan bimbingan pakar serta kerjasama universiti berkaitan.
“Kami juga menghantar peserta menjalani latihan dan menyertai pertandingan di Taiwan bagi memberi pendedahan serta memperkukuh kemahiran mereka,” katanya.
Bagi peserta, Muhammad Nashrul Zulkifli, beliau kini memberi tumpuan sepenuhnya terhadap latihan bagi merealisasikan sasaran menghadiahkan pingat emas buat Malaysia pada WorldSkills Shanghai 2026.
“Taklimat daripada Timbalan Perdana Menteri tadi memberi semangat dan motivasi kepada saya untuk membuat persiapan yang lebih rapi menjelang WorldSkills 2026.
“Saya akan meneruskan latihan di Universiti Malaysia Pahang sehingga September ini dan berazam memberikan yang terbaik untuk meraih pingat emas buat Malaysia,” katanya.