
JOHOR BAHRU, 11 Julai – Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 setakat 12 tengah hari mencecah 34.78 atau 933,115 daftar pemilih telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.
- N.39 Tanjung Surat rekod peratus keluar mengundi tertinggi 45.4%, diikuti N.20 Semarang 45.2% dan N.36 Sedili 41.9%.
- Pengerusi SPR harap momentum keluar mengundi berterusan; hujan di beberapa kawasan dijangka menjejaskan kadar pada sebelah petang, unjuran 65 hingga 70 peratus.
- Tiada laporan insiden serius setakat ini; 799 laporan diterima, 96 dalam siasatan polis manakala selebihnya melibatkan SPRM dan kesalahan kecil.
Kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan N.39 Tanjung Surat mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 45.4, diikuti N.20 Semarang dan N.36 Sedili masing-masing 45.2 dan 41.9%.
Sementara itu Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun mengharapkan momentum itu berterusan sehingga ke petang bagi memastikan seramai mungkin daftar pemilih menunaikan tanggungjawab.
“Bagaimanapun, hujan yang melanda beberapa kawasan termasuk Muar, Kluang dan Johor Bahru dijangka memberi sedikit kesan kepada kadar keluar mengundi pada sebelah petang.
“Akibat daripada hujan ini kita menjangkakan ada sedikit gangguan (kepada peratusan keluar mengundi). Tapi kita masih lagi boleh (capai) sekitar 65 hingga 70 peratus,” katanya selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Uda Utama bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling.
Mengulas perjalanan proses pengundian, beliau memaklumkan setakat ini SPR tidak menerima sebarang laporan insiden serius, sebaliknya hanya kesalahan kecil berkaitan pilihan raya.
Secara keseluruhan sehingga malam tadi, 799 laporan telah diterima, dengan 96 kes di bawah siasatan polis, manakala selebihnya melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kesalahan lain seperti pemasangan poster dan sebagainya.