
ALOR GAJAH, 11 Julai – Kejayaan merangkul Naib Johan Anugerah Aspirasi Desa MADANI 2025 merupakan batu loncatan bagi komuniti Felda Tun Ghaffar Hutan Percha meningkat sumber pendapatan warganya.
- Matlamat mewujudkan produk ekonomi baharu untuk golongan muda termasuk batik dan makanan hiliran.
- Perancangan menaik taraf prasarana untuk meningkatkan kemudahan peneroka dan anak muda.
- FELDA Tun Ghaffar menerima Anugerah Khas Pengurusan Sistematik, mengiktiraf pengurusan teratur tanah rancangan.
- Komuniti berbilang kaum termasuk 137 keluarga Orang Asli menjadi keistimewaan dan sumber kekuatan sosial.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) tanah rancangan tersebut, Nizam Baharom, pihaknya menyasarkan untuk mewujudkan produk ekonomi baharu untuk golongan muda.
“Ini termasuk merancang menaik taraf beberapa prasarana di tanah rancangan itu bagi meningkatkan kemudahan peneroka dan anak muda khususnya,” katanya.
“Saya lihat kemenangan berkenaan turut menjadi pembakar semangat kepada komuniti Hutan Percha meneruskan agenda meningkatkan prestasi ke peringkat lebih tinggi,” tambah beliau.
Pada Majlis Sambutan Hari Peneroka FELDA dan Ulang Tahun ke-70 FELDA baru-baru ini, FELDA Tun Ghaffar Hutan Percha turut menerima Anugerah Khas Pengurusan Sistematik.
“Masyarakat berbilang kaum termasuk 137 keluarga Orang Asli merupakan keistimewaan kami di sini,” jelasnya lagi.
Beliau menyatakan selain produk batik dan makanan hiliran yang sedang dibangunkan, tanah rancangan itu juga dikenali menerusi beberapa lokasi tarikan untuk swafoto seperti Laman Kasih Sayang dan Laman Nostalgia.