
SHAH ALAM, 9 Julai – Tidak berpuas hati dan memendam rasa selepas mendakwa dibuli, dipercayai menjadi punca suspek menikam pelajar di sebuah sekolah di Banting, Isnin lalu.
- Siasatan masih berjalan; keterangan setakat ini tidak mengesahkan wujudnya perbuatan buli, polis minta ruang buat pegawai penyiasat.
- Polis merakam percakapan ramai saksi termasuk 10 pelajar yang nama mereka tular di media sosial.
- Suspek disyaki beli pisau dalam talian, masuk sekolah ketika pagar terbuka; mangsa stabil di hospital, suspek direman bawah Seksyen 307.
Namun, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil keterangan beberapa individu setakat ini mendapati, belum wujud situasi yang menjurus ke arah perbuatan buli.
“Siasatan menyeluruh masih lagi berlangsung dan belum selesai. Pihak polis meminta masyarakat memberi ruang kepada pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan sepenuhnya.
Namun begitu hasil siasatan awal pada peringkat ini kita mendapati, alasan yang diberikan oleh suspek adalah rasa tidak puas hati, boleh dikatakan memendam perasaan suspek terhadap beberapa rakan sekolah yang didakwa membuli suspek,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis telah merakam percakapan ramai saksi termasuk 10 pelajar yang nama mereka tular di media sosial dan dikaitkan dengan kes berkenaan.
Datuk Shazeli menambah, polis turut menyiasat sama ada tindakan suspek dipengaruhi oleh kandungan tertentu di media sosial, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan.
Dalam pada itu, beliau tidak menafikan terdapat laporan polis mengatakan suspek terjun dari bangunan di sekolah terbabit tahun lepas.
Insiden berkenaan katanya, dipercayai berlaku apabila suspek mengambil peluang untuk masuk ke dalam sekolah ketika pagar dalam keadaan terbuka namun menegaskan, perkara itu terjadi bukan disebabkan kelemahan pihak sekolah.
Menurut beliau, suspek turut mendakwa membeli pisau yang digunakan dalam insiden itu secara dalam talian dan menyimpannya di dalam beg galas untuk dibawa ke sekolah pada hari kejadian.
“Suspek tiba di sekolah melalui pintu depan dengan menaiki kenderaan e-hailing. Dia mengambil peluang masuk ke dalam kawasan sekolah ketika pintu pagar (utama) terbuka namun mungkin ketika itu berlaku pergerakan keluar masuk melalui pintu tersebut,” katanya.
Jelas beliau, suspek didapati telah lapan bulan tidak bersekolah, tetapi belajar di rumah secara home schooling kerana pada waktu tersebut dia menghadapi masalah kesihatan.
Beliau turut mengesahkan pihaknya menerima satu kad Orang Kurang Upaya (OKU) autisme atas nama suspek.
Mengenai keadaan mangsa, beliau berkata pelajar berkenaan sedang dalam tempoh pemulihan dan kini berada dalam keadaan stabil di hospital.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi sebelum ini dilaporkan berkata, suspek direman selama empat hari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.