MPKB-BRI kompaun RM25,000 restoran anjur program disko tanpa lesen

Pegawai Jabatan Pelesenan dan Bahagian Penguatkuasaan bertemu pemilik premis serta penganjur bagi mendapatkan penjelasan / Foto MPKB-BRI

KOTA BHARU, 9 Julai – Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengeluarkan Notis Kesalahan Serta Tawaran Kompaun berjumlah RM25,000 kepada pemilik sebuah restoran di tepi Sungai Kelantan kerana menganjurkan program hiburan tanpa lesen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pegawai Pelesenan dan Bahagian Penguatkuasaan bertemu pemilik premis serta penganjur untuk mendapatkan penjelasan berkaitan penganjuran program.
  • Siasatan mendapati program melanggar Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025.
  • Pemilik diberi tujuh hari untuk menjelaskan kompaun; jika gagal, kes dibawa ke mahkamah, hukuman penjara atau denda boleh dikenakan.

Tindakan itu diambil selepas program hiburan bertemakan disko retro dan hippie era 60-an, 70-an serta 80-an yang diadakan pada 3 Julai lalu tular di media sosial sejak kelmarin.

MPKB-BRI dalam kenyataan memaklumkan, notis itu diserahkan semalam selepas pegawai Jabatan Pelesenan dan Bahagian Penguatkuasaan bertemu pemilik premis serta penganjur bagi mendapatkan penjelasan mengenai penganjuran program berkenaan.

Menurut kenyataan itu, siasatan mendapati program terbabit melanggar peruntukan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025.

“Beberapa kompaun lain turut dikeluarkan terhadap pemilik premis kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019,” menurut kenyataan itu.

Pemilik premis diberi tempoh tujuh hari untuk menjelaskan kompaun dan sekiranya gagal, kes akan dibawa ke mahkamah.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda maksimum RM50,000, atau kedua-duanya sekali.

MPKB-BRI berkata, pihaknya akan terus memperketat penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan syarat pelesenan bagi memastikan semua aktiviti hiburan serta perniagaan dijalankan mengikut peraturan.

Semalam, media melaporkan program hiburan di sebuah restoran popular di tepi Sungai Kelantan itu diadakan tanpa lesen hiburan.

Program berkenaan turut menjadi tular di Facebook selepas video memaparkan kehadiran pengunjung lelaki dan wanita sedang menari dalam majlis itu dikongsi di media sosial.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.