JAKOA guna pendekatan advokasi harmoni urusan berkaitan tanah

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang/Foto JAPEN

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan menggunakan pendekatan advokasi harmoni dengan pihak berkuasa negeri berhubung urusan berkaitan tanah, termasuk tanah adat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperhalusi cadangan pindaan Akta Orang Asli 1954 (bukan berkaitan tanah): semakan definisi, pengiktirafan lembaga adat, Majlis Penasihat, pendidikan, pendaftaran perkahwinan dan perceraian.
  • Mengadakan sesi libat urus hingga ke peringkat akar umbi untuk mendapatkan maklum balas lebih komprehensif.
  • Cadangan dasar pindaan akan dimuktamadkan peringkat kementerian sebelum diangkat untuk kelulusan Jemaah Menteri.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang memaklumkan, pihaknya turut memperhalusi cadangan pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang bukan berkaitan tanah.

Katanya, ini termasuk semakan semula definisi dan takrifan, pengiktirafan lembaga adat, penubuhan Majlis Penasihat Orang Asli Semenanjung, pendidikan serta pendaftaran perkahwinan dan perceraian Orang Asli.

“Kementerian melalui JAKOA sedang giat mengadakan sesi libat urus hingga ke peringkat akar umbi untuk mendapatkan maklum balas yang lebih komprehensif.

“Cadangan dasar pindaan akta itu akan dimuktamadkan di peringkat kementerian sebelum diangkat untuk kelulusan Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Laporan Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.