
PUTRAJAYA, 8 Julai – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dilantik sebagai Pusat Tumpuan Nasional (NFP) bagi Dana untuk Menangani Kerugian dan Kerosakan (FRLD) bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).
- Memperkukuh akses Malaysia kepada pembiayaan antarabangsa untuk menangani impak perubahan iklim.
- Tiga pelan tindakan strategik bagi menyokong NDC 3.0: Pelan Peralihan Adil, Pelan Tindakan Gender, Strategi Pembiayaan dan Pelaburan.
- Mesyuarat menerima Laporan Iklim dan Pembangunan Negara Bank Dunia sebagai rujukan strategik memperkukuh dasar pembangunan rendah karbon.
- Program Bandar Rendah Karbon MGTC dilaporkan maju menyokong pengurangan pelepasan gas rumah kaca dan pembangunan bandar mampan.
Kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan, ia bertujuan memperkukuh akses Malaysia kepada pembiayaan antarabangsa berkaitan impak perubahan iklim.
Pelantikan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Ketujuh Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mesyuarat tersebut turut meneliti empat kertas pertimbangan dan satu kertas makluman yang memberi fokus kepada usaha memperkukuh daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim serta mempercepat pelaksanaan agenda pembangunan rendah karbon, ” menurut NRES.
Selain itu, tiga pelan tindakan strategik bagi menyokong Nationally Determined Contribution (NDC) 3.0 Malaysia kepada Perjanjian Paris iaitu Pelan Tindakan Peralihan Adil, Pelan Tindakan Gender serta Strategi Pembiayaan dan Pelaburan, juga dipertimbangkan.
Ketiga-tiga pelan tindakan ini menjadi pemangkin pelaksanaan komitmen iklim negara secara inklusif, adil dan mampan, demi memastikan manfaat peralihan kepada ekonomi rendah karbon dinikmati semua lapisan masyarakat.
Menurut kenyataan itu, perkara lain turut dibincangkan ialah persiapan penyertaan Malaysia ke Persidangan Negara-Negara Pihak Ke-31 UNFCCC (COP31) di Antalya, Türkiye.
Mesyuarat juga menerima pembentangan Laporan Iklim dan Pembangunan Negara (CCDR) yang diterbitkan Bank Dunia bagi dijadikan rujukan strategik bagi memperkukuh dasar pembangunan ekonomi rendah karbon negara.
Turut dibentangkan status pelaksanaan Program Bandar Rendah Karbon yang diterajui oleh Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).
Program ini terus menunjukkan kemajuan positif dalam menyokong pengurangan pelepasan gas rumah kaca serta memperkukuh pembangunan bandar yang mampan.