
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Proses pengambilan tanah secara rasmi sedang dilaksana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyelesaikan isu sekatan laluan awam yang dibina di atas tanah persendirian di Jalan Taman Datuk Senu, Sentul.
- Permohonan pengambilan tanah dikemukakan kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian untuk tindakan lanjut.
- Proses menunggu kelulusan rasmi, pewartaan dan pembayaran pampasan kepada pemilik tanah.
- Pemilik tanah dinasihat memberi ruang supaya proses perundangan berjalan lancar; isu sekatan tular ganggu akses penduduk.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud memaklumkan tindakan penyelesaian secara konkrit telah digerakkan sejak Februari lepas, menerusi beberapa siri perbincangan melibatkan pihak-pihak berkaitan.
“Proses permohonan pengambilan tanah berkenaan telah dikemukakan kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) untuk tindakan lanjut dengan jangkaan penyelesaian bergantung kepada kelancaran proses perundangan di peringkat JKPTG.
“Ketika ini, proses melibatkan usaha mendapatkan kelulusan rasmi yang bakal disusuli proses pewartaan dan urusan pembayaran pampasan kepada pemilik tanah terlibat,”katanya selepas majlis pelancaran Program Geran Pusat Bandar Kuala Lumpur 2026 dan Hari Kolektif Pusat Bandar Kuala Lumpur yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Beliau dalam masa sama, menasihatkan pemilik tanah terlibat memberi ‘ruang’ bagi membolehkan proses perundangan lancar.
Isu penutupan serta sekatan jalan di kawasan Taman Datuk Senu, baru-baru ini tular, selepas penduduk menyuarakan kesukaran gangguan akses laluan utama harian.