
SATUN, 7 Julai – Hubungan serantau antara Malaysia dan Thailand, khususnya melibatkan negeri-negeri yang bersempadan, terus diperkukuh menerusi program Kembara Muhibbah Komuniti Perlis dan Satun.
- Program anjuran Persatuan Amal Bakti Negeri Perlis bersama KRT Perumahan Behor Lateh melibatkan peserta menyantuni pelajar Maktab Tahfiz Muhamadiah Cebilang di Satun.
- Aktiviti tumpuan: gotong-royong, ziarah kasih keluarga pelajar, dan sumbangan bagi menyokong pembelajaran serta kebajikan tahfiz.
- Program memupuk semangat kesukarelawanan merentas sempadan, mengukuhkan ukhuwah komuniti KRT dan menghidupkan pertalian sejarah serta silaturahim serumpun.
Program anjuran Persatuan Amal Bakti Negeri Perlis dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Perumahan Behor Lateh itu disertai 30 peserta yang menyantuni 50 pelajar Maktab Tahfiz Muhamadiah Cebilang di Wilayah Satun.
Pengerusi Jiran Muda KRT Perumahan Behor Lateh merangkap Pengarah Program, Rifqie Aiman Mohd Salehuddin berkata, inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada aktiviti kesukarelawanan di negara jiran dengan menyantuni serta berbakti kepada anak-anak tahfiz menerusi gotong-royong, ziarah kasih bersama keluarga pelajar, selain menyampaikan sumbangan bagi menyokong aktiviti pembelajaran dan kebajikan mereka.
Menurutnya, selain menyemai semangat kesukarelawanan merentas sempadan, program itu turut memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan serta mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan ahli KRT.
“Melalui gerak kerja dan perancangan secara bersama, ia menuntut kerjasama berpasukan yang tinggi, sekali gus mengeratkan hubungan kejiranan dalam kalangan komuniti setempat,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, nilai perpaduan itu turut terserlah melalui ikatan budaya yang unik memandangkan Perlis mempunyai masyarakat berketurunan Siam yang telah menetap di negeri itu sejak beberapa generasi.
Katanya, misi muhibah ke Satun bukan sahaja mengeratkan hubungan dua hala, malah secara tidak langsung menghidupkan kembali pertalian sejarah, hubungan kekeluargaan serta silaturahim serumpun antara masyarakat di kedua-dua wilayah.