Kem gimnastik negara optimis hadapi cabaran di Glasgow

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026, Datuk Awalan Abdul Aziz (lima kanan) bersama kem gimnastik artistik di MSN, Bukit Jalil, hari ini/ RTM

KUALA LUMPUR, 6 Julai- Kem gimnastik artistik negara meletakkan sasaran realistik menjelang Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan fokus utama layak ke pentas final bagi gimnas lelaki, manakala gimnas wanita, Rachel Yeoh Li Wen menyasarkan sekurang-kurangnya pingat gangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persiapan atlet lelaki berada pada landasan terbaik menjelang keberangkatan 19 Julai.
  • Sharul Aimy mengesahkan tiket Sukan Asia dan mensasarkan pingat sambil menghindari kecederaan.
  • Saingan dijangka sengit dengan penyertaan gimnas bertaraf dunia dari Britain.
  • Rachel Yeoh kembali cergas; tahap kesukaran rutin meningkat kepada 6.3, yakin peluang podium.

Jurulatih gimnas artistik negara, Ng Chun Chen berkata persiapan atlet lelaki berada pada landasan terbaik menjelang keberangkatan ke Scotland pada 19 Julai ini, membabitkan Muhammad Sharul Aimy Kamaru, Luqman dan Jun Cheng.

Menurutnya, sasaran awal adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya seorang gimnas lelaki mara ke final sebelum memburu peluang pingat.

Beliau berkata saingan dijangka sengit dengan penyertaan gimnas bertaraf dunia dari Britain, termasuk pemenang Olimpik dan Kejohanan Dunia.

“Kalau dilihat, United Kingdom memang kuat, England, Scotland, Wales dan Ireland. Dalam kalangan mereka ada juga atlet bertaraf dunia termasuk pemenang pingat Olimpik dan Kejohanan Dunia. Jadi saingan memang sangat sengit.

“Namun bagi saya, apa yang penting ialah atlet kita perlu memberikan persembahan terbaik. Fokus utama pada pusingan kelayakan, jika beraksi baik di situ, apa sahaja boleh berlaku di final,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan hanya Sharul Aimy telah mengesahkan tiket ke Sukan Asia.

Sementara itu, Sharul Aimy menyasarkan pingat selepas persiapan rapi sejak awal tahun melalui siri Piala Dunia dan Kejohanan Asia.

Pemenang pingat emas Sukan SEA itu berkata fokus ketika ini adalah mengelak kecederaan menjelang kejohanan.

“Kita tahu Sukan Asia jauh lebih tinggi tahap persaingannya, jadi saya berharap dapat memberikan prestasi terbaik di Sukan Komanwel sebagai persediaan ke Sukan Asia,” katanya.

Rachel Yeoh pula optimis meraih sekurang-kurangnya gangsa selepas kembali cergas sepenuhnya.

Menurutnya, tahap kesukaran rutin kini meningkat kepada 6.3 mata berbanding 5.7 sebelum ini.

“Bagi saya, apa yang perlu dilakukan hanyalah melaksanakan apa yang telah dilatih sebelum ini ketika pertandingan. Saya percaya peluang untuk mara ke final dan berada dekat dengan podium adalah sangat baik,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.