PRN Johor: Pengundi mahu bukti komitmen, bukan sekadar manifesto menarik

Gambar Hiasan / Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 5 Julai – Setiap calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar perlu menawarkan manifesto yang menarik, malah mesti membuktikan komitmen menerusi tindakan yang jelas, realistik dan memenuhi keperluan penduduk setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejelasan manifesto penting; calon mesti senaraikan tindakan nyata dalam pembangunan, pendidikan dan penambahbaikan untuk belia serta rakyat.
  • Calon dinilai berdasarkan amanah, kejujuran, keprihatinan dan usaha turun padang untuk membawa perubahan serta meningkatkan ekonomi.
  • Isu perumahan perlu perhatian serius; komunikasi digital penting untuk meyakinkan pengundi muda melalui bukti di media sosial.

Zainab Hassan berpandangan kejelasan manifesto seseorang calon amat penting bagi membantu pengundi membuat pertimbangan.

“Calon perlu menyenaraikan manifesto, contohnya apa yang akan dilakukan dalam aspek pembangunan, pendidikan serta penambahbaikan demi golongan belia dan rakyat,” katanya.

Seorang lagi pemilih, Maznah Hamad menilai seseorang calon berdasarkan keperibadian, keprihatinan terhadap rakyat dan kemampuan membawa perubahan.

“Yang pertama, calon mestilah amanah, jujur, selalu turun padang untuk membantu rakyat dan paling penting, meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

Bagi Afidah Mohamed, isu perumahan perlu diberi perhatian serius kerana masih terdapat penduduk tempatan yang belum memiliki kediaman sendiri.

“Itu yang saya perlukan sebab saya pun pengundi dan anak jati Johor Bahru, tapi masih belum ada rumah lagi,” jelasnya.

Sementara Azfar Fahmi Zulkarnain menyifatkan, pendekatan komunikasi digital penting untuk membina keyakinan pengundi muda.

“Dalam era globalisasi, kami memerlukan bukti dan mahu mengetahuinya menerusi media sosial kerana golongan belia sangat bergantung pada platform itu. Perkara tersebut penting untuk meyakinkan kami,” katanya.

Hari pengundian PRN Johor ke-16 akan berlangsung pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.