Silibus EV bantu mekanik tingkat kemahiran, kekal relevan dalam industri

Pengamal Industri Automotif Negara dan Antarabangsa, Tc. Mohd Khairull Anuar Ismail / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Mekanik konvensional disaran memanfaatkan silibus Kenderaan Elektrik (EV) dan Teknologi Automotif Hibrid yang diperkenalkan kerajaan bagi meningkatkan kemahiran serta memastikan mereka kekal relevan seiring perkembangan pesat industri automotif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pensijilan EV menerusi Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia membuka peluang naik taraf kompetensi mekanik sedia ada.
  • Silibus Kenderaan Elektrik menambah nilai kepada tenaga kerja automotif untuk menghadapi peralihan kepada teknologi elektrik.
  • Pengenalan silibus di institut latihan dan pensijilan khusus bertujuan melahirkan tenaga kerja automotif berkemahiran tinggi.
  • Perkukuhan ekosistem EV perlu kerjasama kerajaan, industri dan swasta serta perluasan pengecas, bekalan alat ganti dan sokongan tunda.

Pengamal Industri Automotif Negara dan Antarabangsa, Tc. Mohd Khairull Anuar Ismail berkata, pensijilan khusus dalam bidang EV yang diwujudkan menerusi Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia membuka peluang kepada mekanik sedia ada untuk meningkatkan kompetensi dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

Katanya, pengenalan silibus berkenaan memberi nilai tambah kepada tenaga kerja automotif, sekali gus membantu mereka menghadapi keperluan industri yang semakin beralih kepada penggunaan teknologi elektrik.

“Kalau kita tengok Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia, kini sudah ada satu tahap pensijilan yang memberi fokus khusus kepada EV. Jadi, pengenalan silibus tersebut sememangnya bermanfaat kepada mekanik sedia ada untuk meningkatkan potensi diri dan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi EV,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media, di sini.

Menurut beliau, usaha kerajaan memperkenalkan silibus EV dan Teknologi Automotif Hibrid di institusi latihan kemahiran serta menyediakan pensijilan khusus dalam bidang berkenaan merupakan langkah tepat bagi melahirkan tenaga kerja automotif berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri.

Bagaimanapun, katanya, pembangunan ekosistem EV negara perlu terus diperkukuh menerusi kerjasama erat antara kerajaan, pemain industri dan sektor swasta.

Beliau berkata, usaha itu termasuk memperluaskan rangkaian kemudahan pengecasan EV, memastikan bekalan alat ganti mencukupi serta meningkatkan keupayaan perkhidmatan sokongan seperti perkhidmatan tunda, khususnya di kawasan luar bandar.

Sebagai rekod, kerajaan mula memperkenalkan silibus Kenderaan Elektrik (EV) dan Teknologi Automotif Hibrid di institusi latihan kemahiran secara berperingkat sejak 2024 bagi memenuhi keperluan industri automotif yang semakin beralih kepada teknologi elektrik.

Langkah itu turut disokong dengan penyediaan pensijilan khusus dalam bidang berkenaan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta memperkukuh ekosistem automotif negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.