
KANGAR, 5 Julai – Tradisi memasak bubur Asyura sempena bulan Muharam terus dipelihara penduduk Taman Haji Ali, Mata Ayer di sini, sebagai medium mengeratkan silaturahim dan menyemarakkan semangat gotong-royong dalam komuniti.
- Program menjadi platform berkongsi rezeki dan menyemarakkan kegembiraan melalui pengagihan bubur Asyura kepada penduduk setempat.
- Gotong-royong penduduk menghasilkan kira-kira 500 pek bubur, mencerminkan kerjasama dan semangat kemasyarakatan.
- Penglibatan generasi muda digalakkan supaya tradisi diwarisi sementara persatuan menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan.
Program yang diadakan setiap tahun itu turut menjadi platform membudayakan amalan berkongsi rezeki dan kegembiraan sesama penduduk melalui pengagihan bubur Asyura kepada masyarakat setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Taman Haji Ali, Amir Nizam Abu Bakar berkata, sebanyak dua kawah dan sebuah periuk digunakan untuk menyediakan bubur Asyura yang dimasak secara bergotong-royong oleh kira-kira 40 penduduk.
“Hasil kerjasama itu berjaya menghasilkan sebanyak 500 pek bubur Asyura untuk diagihkan kepada penduduk sekitar.
Walaupun program tahunan itu dilaksanakan secara sederhana, kemeriahan jelas dirasai apabila penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat bersama-sama berganding bahu bermula daripada proses penyediaan sehingga pengagihan bubur,” katanya.
Tambah beliau, generasi muda perlu mengambil peluang mempelajari cara penyediaan bubur Asyura bagi memastikan tradisi berkenaan terus diwarisi dan kekal relevan mengikut peredaran zaman.
Beliau berkata demikian pada Program Kacau Bubur Asyura bersama penduduk Taman Haji Ali di sini.
Selain Program Kacau Bubur Asyura, Persatuan Penduduk Taman Haji Ali turut aktif menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan sepanjang tahun, antaranya Program Ziarah Kasih Prihatin, Semarak Komuniti, sambutan perayaan serta Sukan Rakyat yang melibatkan penyertaan pelbagai lapisan usia.