PRN Johor : Kehadiran PM suntik semangat calon PH perkukuh kempen

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama masyarakat DUN Layang-Layang ketika hadir menikmati sarapan di Warung Pak Din, Simpang Renggam hari ini / Foto BERNAMA

KLUANG, 5 Julai – Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari kesembilan kempen pilihan raya memberi suntikan semangat kepada calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dan Layang-Layang untuk terus mempergiat gerak kerja bagi menghadapi hari pengundian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kehadiran Perdana Menteri beri suntikan semangat dan perkuat gerak kerja kempen PH di DUN Machap dan Layang-Layang.
  • Perdana Menteri pesan supaya bekerja bersungguh-sungguh, utamakan kepentingan rakyat dan elakkan permusuhan.
  • Calon Norhafiz dan Guna berkata kehadiran PM tingkatkan keyakinan pengundi serta memperkukuh usaha menyantuni masyarakat.
  • PRN Johor: Machap satu lawan satu; Layang-Layang tiga penjuru; PH letak calon di semua 56 kerusi; undi pada 11 Julai.

Calon PH bagi DUN Machap, Norhafiz Roslan berkata, kehadiran Pengerusi PH itu bukan sahaja memberi motivasi kepada calon dan jentera parti, malah memperkukuh gerak kerja kempen menjelang hari pengundian.

Beliau berkata, Datuk Seri Anwar turut mengingatkan semua calon supaya bekerja bersungguh-sungguh dan mengutamakan kepentingan rakyat dalam setiap tindakan.

“Pesanan Perdana Menteri supaya tidak bermusuh menunjukkan keprihatinan kerajaan yang sentiasa mengutamakan rakyat.

“Dengan kehadiran Perdana Menteri pagi tadi, saya bersama rakan saya di DUN Layang-Layang dan seluruh jentera akan bergerak dengan lebih bersemangat untuk terus menyantuni masyarakat kerana kami benar-benar mahu berbakti dan berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, calon PH bagi DUN Layang-Layang, Guna Balakrishnan berkata, kehadiran Perdana Menteri dijangka memberi impak positif terhadap kempennya.

Katanya, peluang Perdana Menteri turun padang dan bertemu masyarakat setempat mampu meningkatkan keyakinan pengundi sekali gus membantu memperkukuh kempen PH di kawasan berkenaan.

“Sudah tentu ia akan membantu kempen saya kerana Perdana Menteri turun berkempen dan bertemu masyarakat tempatan. Kehadiran beliau amat membantu kempen saya,” katanya.

DUN Machap menyaksikan pertandingan satu lawan satu membabitkan Norhafiz menentang penyandang kerusi, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sementara itu, DUN Layang-Layang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Guna Balakrishnan mewakili PH, calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang, Abd Mutalib Abdul Rahim, serta calon Barisan Nasional (BN), Chua Jia Boon.

Pada PRN kali ini, PH meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkumi 20 calon PKR, 19 calon Amanah dan 17 calon DAP.

Secara keseluruhan, PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.