
KUALA LUMPUR, 3 Julai- Jabatan Penjara Malaysia (Jabatan Penjara) tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku susulan pertuduhan ke atas lima anggotanya di Mahkamah Majistret Taiping, Perak, hari ini.
- Jabatan Penjara tidak akan berkompromi terhadap salah laku yang menyalahi undang-undang atau menjejaskan kepercayaan awam.
- Akan terus memberi kerjasama penuh kepada PDRM, Jabatan Peguam Negara dan institusi kehakiman demi ketelusan dan keadilan.
- Menghormati hak perbicaraan adil, anggapan tidak bersalah, dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi.
Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menghormati sepenuhnya proses perundangan yang sedang berjalan.
Menurutnya, jabatan berkenaan akan terus memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara serta institusi kehakiman bagi memastikan proses keadilan dapat dilaksanakan secara telus, adil dan mengikut lunas undang-undang.
“Jabatan Penjara Malaysia sentiasa berpegang teguh kepada prinsip integriti, profesionalisme dan akauntabiliti dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai peneraju perkhidmatan korektif negara.
“Jabatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku yang menyalahi undang-undang atau menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi ini,” katanya.
Menurutnya, Jabatan Penjara turut menghormati hak setiap individu untuk mendapat perbicaraan yang adil, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan anggapan tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan prosiding mahkamah yang sedang berjalan,” katanya.
Tambahnya, jabatan itu akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak berkuasa sehingga kes berkenaan selesai mengikut proses perundangan.
Dalam kejadian pada Januari tahun lalu, lebih 100 tahanan terbabit dalam rusuhan ketika proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E di Penjara Taiping.