
SEMENYIH, 3 JULAI – Sebanyak 1,000 kedai runcit koperasi termasuk koperasi sekolah di seluruh negara tersenarai dibawah Program Barang Asas 100 (BA100), sekali gus membuka akses lebih luas kepada pelaksanaan penebusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
- Inisiatif hasil kerjasama ANGKASA dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
- Dilengkapi terminal pembayaran membolehkan ibu bapa dan komuniti menebus barangan hanya menggunakan kad pengenalan.
- ANGKASA akan mengurus pelesenan barangan kawalan seperti beras, minyak masak, tepung dan gula bagi pihak koperasi sekolah.
- Dijangka diumumkan tidak lama lagi, memberi peluang koperasi sekolah menjana pendapatan lebih tinggi dan mencapai perolehan tahunan melebihi RM1 juta.
Inisiatif tersebut adalah hasil kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata Inisiatif terbaharu itu akan dilengkapi dengan kemudahan terminal pembayaran bagi membolehkan golongan sasar terutamanya ibu bapa dan komuniti setempat membuat penebusan barangan dengan hanya menggunakan kad pengenalan.
“Kita baru dapat tawaran daripada kerajaan untuk melantik ANGKASA mengendalikan, memilih kedai-kedai, 1,000 kedai-kedai runcit di bawah koperasi di bawah Program BA100 ANGKASA untuk ditawarkan ataupun untuk membolehkan mereka boleh membuat penebusan,” katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Pengiktirafan Perolehan RM 1 Juta di SMK Bandar Rinching di sini.
Tambah beliau, program tersebut diyakini mampu memudahkan proses pendaftaran premis yang terlibat berikutan segala urusan pelesenan barangan kawalan seperti beras, minyak masak, tepung, dan gula akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak ANGKASA tanpa memerlukan pemilik koperasi sekolah memohon secara individu.
Inisiatif yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat ini turut memberi peluang kepada koperasi sekolah menjana pendapatan lebih tinggi, sekali gus menyertai kelompok koperasi sekolah yang berjaya meraih perolehan tahunan melebihi RM1 juta.