KPDN perketat kawal selia e-dagang termasuk platform luar negara

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali (tengah) ketika gimik perasmian Shopee Seller Summit dan Kempen Jom Beli Selamat di ibu negara / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan membentangkan cadangan kerangka perundangan baharu bagi ekosistem e-dagang kepada Jemaah Menteri minggu depan, termasuk mewajibkan platform luar negara mematuhi undang-undang Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan menggantikan Akta Perdagangan Elektronik sedia ada kerana tidak lagi sesuai mengatasi cabaran semasa industri e-dagang.
  • Kerangka memperjelas tanggungjawab platform, penjual dan pengguna bagi mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat, adil dan diyakini.
  • Perlindungan pengguna kekal keutamaan; aduan e-dagang menurun tetapi isu utama ialah penghantaran lewat dan produk tidak menepati spesifikasi.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, undang-undang baharu itu dicadangkan bagi menggantikan Akta Perdagangan Elektronik sedia ada yang tidak lagi mampu menangani cabaran semasa industri e-dagang.

Beliau berkata, kerangka itu akan memperjelas tanggungjawab platform e-dagang, penjual dan pengguna bagi mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat, adil dan diyakini.

“Antara cadangan utama ialah memperkenalkan elemen ekstrateritorial yang membolehkan tindakan diambil terhadap platform luar negara jika pelanggaran melibatkan pengguna di Malaysia.

“Platform luar negara juga perlu bertanggungjawab di bawah undang-undang Malaysia sekiranya pelanggaran mereka menjejaskan pengguna atau penjual tempatan,” katanya ketika berucap pada Shopee Seller Summit 2026 dan pelancaran Kempen Jom Beli Selamat!: Klik Tanpa Risau di sini, hari ini.

Beliau berkata cadangan itu disediakan berdasarkan kajian Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan pihak ketiga yang dilantik KPDN.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 10 cadangan dasar akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk proses penggubalan undang-undang, jika diluluskan.

Dalam pada itu, Datuk Armizan berkata, platform e-dagang seperti Shopee banyak membantu usahawan, terutama di luar bandar, memasarkan produk tanpa menanggung kos tinggi membuka premis fizikal dan menjadi antara pemacu utama pertumbuhan keusahawanan digital negara.

Pada masa sama, katanya, perlindungan pengguna terus menjadi keutamaan KPDN berikutan aduan berkaitan urus niaga dalam talian masih diterima.

Sebanyak 11,493 aduan berkaitan e-dagang atau 41.7 peratus daripada keseluruhan aduan direkodkan pada 2021, manakala jumlah itu menurun kepada 8,465 aduan atau 18.49 peratus pada 2025.

Aduan yang paling kerap diterima melibatkan kelewatan penghantaran serta produk yang diterima tidak menepati spesifikasi atau gambar dipaparkan.

Beliau berkata, kerangka perundangan baharu itu penting bagi memastikan industri e-dagang terus berkembang secara mampan, di samping melindungi kepentingan pengguna dan peniaga.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.