
JOHOR BAHRU, 2 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperketat kawalan pemberian subsidi diesel menerusi program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel)bagi mengelakkan salah guna dan ketirisan, termasuk di kawasan sempadan negara.
- Padanan maklumat pemohon BUDI MADANI dengan rekod pemilikan kenderaan diesel memastikan subsidi RM2.10 hanya diberi kepada pemilik layak.
- Mekanisme ini membantu membendung ketirisan subsidi terutama di Sabah dan Sarawak.
- BUDI Diesel memerlukan padanan pemilikan kenderaan, berbeza dengan BUDI RON95 yang hanya mengambil kira lesen memandu.
- Mulai 1 Julai harga diesel bersubsidi ditetapkan RM2.10 seliter; kira-kira 700,000 pemilik kenderaan persendirian menerima manfaat.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, padanan maklumat pemohon melalui portal BUDI MADANI dengan rekod pemilikan kenderaan diesel memastikan subsidi RM2.10 seliter hanya dinikmati mereka yang layak.
Menurut beliau, mekanisme itu turut membantu membendung ketirisan, khususnya di Sabah dan Sarawak.
“Cuma beza BUDI RON95, ia hanya mengambil kira lesen memandu. Bagi BUDI Diesel pula, maklumat pemohon dipadankan dengan pemilikan kenderaan diesel,” katanya selepas meninjau pelaksanaan mekanisme bantuan subsidi BUDI Diesel di Bandar Dato’ Onn, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo.
Bermula 1 Julai, kerajaan menetapkan harga diesel bersubsidi pada RM2.10 seliter menerusi program BUDI Diesel berbanding harga pasaran RM3.97 seliter.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, kira-kira 700,000 pemilik kenderaan persendirian di seluruh negara menikmati diesel bersubsidi tersebut.