El Nino: Bekalan air negara mencukupi, terkawal

Foto janaan AI/RTM

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Sumber bekalan air negara kekal mencukupi dan terkawal bagi menghadapi kemungkinan cuaca panas serta kering susulan fenomena El Nino.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan Kesiapsiagaan Nasional dilaksanakan dengan langkah jangka pendek, sederhana dan panjang untuk memastikan kesinambungan bekalan air kepada pengguna domestik dan industri.
  • Loji rawatan air seluruh negara terus beroperasi secara optimum di bawah pemantauan SPAN bagi mengekalkan kapasiti bekalan.
  • Orang ramai diminta berjimat, baiki kebocoran serta melapor paip rosak supaya simpanan air terawat terpelihara hadapi krisis.

Pengarah Bahagian Operasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ir. Azrul Raimee Ramli berkata, Pelan Kesiapsiagaan Nasional telah dirangka sebagai langkah persediaan bagi memastikan bekalan air kepada pengguna domestik dan sektor industri terus terjamin.

“Dalam Pelan Kesiapsiagaan Nasional bagi mendepani El Nino ini, kita telah menyediakan beberapa langkah meliputi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang bagi memastikan kesinambungan bekalan air kepada pengguna domestik serta industri,” katanya.

Ir. Azrul Raimee berkata demikian ketika ditemu bual pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia yang membincangkan isu Mendepani Impak El-Nino – Mitigasi Bekalan Air.

Jelas beliau, bekalan air ketika ini masih berada pada tahap baik dengan loji rawatan air di seluruh negara terus beroperasi serta membekalkan air terawat secara optimum.

Menurutnya, kira-kira 80 peratus sumber bekalan air negara bergantung kepada air permukaan seperti sungai, manakala empangan berperanan sebagai sumber sokongan bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering berpanjangan.

“Sebenarnya Malaysia ini, sumber bekalan air utama adalah air permukaan iaitu air sungai sekitar 80 peratus.

“Sekiranya cuaca panas dan kering berterusan, kita telah mempunyai langkah mitigasi yang disediakan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk mengambil tindakan sekiranya berlaku krisis,” tambahnya.

Di bawah pemantauan SPAN, sebanyak 351 loji rawatan air dan kira-kira 43 empangan berkaitan bekalan air dipantau bagi memastikan operasi serta kapasiti bekalan sentiasa berada pada tahap optimum.

Orang ramai tidak perlu panik kerana keadaan bekalan air ketika ini masih terkawal, namun penggunaan air secara berhemah perlu diamalkan.

“Jangan membazir dan sekiranya berlaku kebocoran paip, baik pulih kebocoran di rumah kita, jika terdapat kebocoran pada paip awam, maklumkan kepada operator air negeri masing-masing supaya tindakan pembaikan dapat diambil segera.

“Dengan cara itu, penggunaan air dapat dijimatkan selain meningkatkan simpanan air terawat sebagai rizab bekalan bagi menghadapi kemungkinan krisis cuaca panas dan kering berpanjangan termasuk fenomena El Nino,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.