CENTHRA kumpul bukti serangan Israel di Dahiyah

Foto ZRA Strim

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Gabungan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) sedang mengumpulkan bukti di beberapa lokasi yang musnah akibat serangan udara Israel di Dahiyah, selatan Beirut, bagi menyokong usaha memulakan tindakan perundangan berhubung dakwaan jenayah perang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Aktivis Zainal Rashid Ahmad berkongsi video mendakwa tapak lawatan ialah lokasi Sayyed Hassan Nasrallah dibunuh pada 27 September 2024.
  • Kesan kemusnahan masih ketara; banyak bangunan musnah, kira-kira 30 hingga 40 blok roboh di beberapa kawasan.
  • Kawasan didakwa adalah kediaman awam dan pengeboman berskala besar dilaporkan di selatan Lubnan serta selatan Beirut.

Menerusi perkongsian video oleh aktivis kemanusian, Zainal Rashid Ahmad menerusi laman web ZRA Strim, lokasi yang dilawati merupakan kawasan di mana Pemimpin Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah, terbunuh dalam serangan pada 27 September 2024.

“Tapak yang saya akan turun ini adalah bangunan di mana Pemimpin Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah dibom pada 27 September 2024.

“Kawasan ini telah banyak dikemas kerana kejadian ini hampir dua tahun lalu,” katanya.

Menurut beliau, kesan kemusnahan di sekitar Dahiyah masih ketara, dengan banyak bangunan musnah akibat pengeboman.

“Sepanjang kami lalu, tak kurang daripada 30 atau 40 kawasan yang kami lihat blok-blok bangunan roboh pada skala sebesar ini,” katanya.

Beliau berharap tindakan undang-undang akan dapat menamatkan serangan tersebut.

“Kita harap tindakan undang-undang yang cuba dimulakan oleh CENTHRA bersama rakan-rakan NGO daripada Poland dan Perancis akan membantu menamatkan semua siri kejahatan ini,” katanya.

Dalam video sama, beliau turut mendakwa kawasan yang dilawati merupakan kawasan kediaman awam dan mendakwa pengeboman berskala besar berlaku di beberapa lokasi di selatan Lubnan dan selatan Beirut sepanjang konflik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.