
BAGAN DATUK, 1 Julai – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Baru, Sungai Sumun, Hutan Melintang, ditemukan meninggal dunia, malam tadi.
- Mayat ditemukan terapung dalam parit di kebun kelapa sawit, kira-kira 300 meter dari rumah.
- Ditemukan oleh orang awam pada pukul 10.08 malam.
- Keluarga mencari selepas bapa mendapati anak tiada dan pintu hadapan terbuka; laporan kemudian dibuat.
- Operasi SAR melibatkan JBPM, PDRM (Unit K9), APM dan penduduk; mayat diserahkan kepada polis. SAR bermula 6.24 petang hingga 11.11 malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat mangsa ditemukan di dalam parit oleh orang awam pada pukul 10.08 malam.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan terapung di sebuah parit di kawasan kebun kelapa sawit, kira-kira 300 meter dari rumahnya.
“Mangsa sebelum itu disedari hilang selepas bapanya mendapati kanak-kanak itu tiada di dalam rumah, manakala pintu hadapan kediaman terbuka.
“Usaha mencari di sekitar rumah dan kawasan kebun kelapa sawit dilakukan ahli keluarga sebelum laporan kehilangan dibuat kepada polis,” katanya menerusi kenyataan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian digerakkan membabitkan JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bantuan penduduk setempat.
PDRM turut menggunakan Unit K9 bagi membantu mengesan mangsa di sekitar lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian dikeluarkan pasukan penyelamat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi SAR yang bermula pada pukul 6.24 petang ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.11 malam.