Tentera Israel tutup pertubuhan kebajikan Palestin di Tebing Barat

foto AFP

NABLUS, 1 Julai – Tentera Israel telah menutup ibu pejabat sebuah pertubuhan kebajikan Palestin di bandar Nablus, Tebing Barat dengan menuduh organisasi itu menyokong kegiatan keganasan, menurut pegawai Palestin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bangunan ibu pejabat Al-Tadamon dikimpal pintunya sehingga tidak boleh dibuka.
  • Datuk Bandar menyatakan kekecewaan, Al-Tadamon menyediakan perkhidmatan anak yatim, tiga sekolah dan sebuah klinik.
  • Sumber organisasi nafikan dakwaan koordinasi dengan Al-Dameer, pertubuhan enggan mengulas.
  • Pegawai Palestin kata penutupan sebahagian daripada dasar tekanan termasuk pengepungan, serbuan dan sasaran institusi kebajikan.

Wartawan AFP di Nablus melaporkan bahawa keseluruhan bangunan yang menempatkan ibu pejabat Persatuan Kebajikan Al-Tadamon telah ditutup, dengan pintu pagar besinya dikimpal sehingga tidak boleh dibuka.

“Kesatuan ini telah diisytiharkan sebagai entiti haram dan telah ditutup kerana penglibatan serta sokongannya terhadap keganasan,” menurut notis dalam bahasa Inggeris dan Arab yang dipasang pada pintu pagar hadapan.

Datuk Bandar Nablus, Anan al-Atira, berkata beliau terkejut dengan serbuan tersebut.

“Kami terkejut apabila mendapati selepas serbuan itu bahawa mereka telah menutup sebuah pertubuhan kebajikan, iaitu Persatuan Kebajikan Al-Tadamon,” kata Atira kepada AFP.

Tentera Israel memaklumkan kepada AFP bahawa pihaknya sedang meneliti butiran berhubung serbuan itu.

Pihak pertubuhan kebajikan berkenaan enggan mengulas mengenai penutupan tersebut.

Bagaimanapun, satu sumber yang rapat dengan organisasi itu memberitahu AFP bahawa tindakan tersebut dikaitkan dengan tuduhan bahawa mereka berkoordinasi dengan organisasi hak asasi yang berpangkalan di Gaza, Al-Dameer — dakwaan yang dinafikan oleh sumber berkenaan.

Atira berkata Al-Tadamon menyediakan perkhidmatan kepada anak-anak yatim serta mengendalikan sekurang-kurangnya tiga buah sekolah dan sebuah klinik.

Beliau menambah bahawa pertubuhan itu telah berkhidmat di negara ini selama bertahun-tahun dengan menyediakan bantuan kebajikan dan perkhidmatan kepada anak-anak yatim.

Sementara itu, Gabenor Nablus, Ghassan Daghlas menegaskan bahawa menyasarkan pertubuhan kebajikan Al-Tadamon bermakna menindas seluruh golongan miskin dalam kalangan rakyat Palestin.

Pengarah Persatuan Bantuan Perubatan di Nablus, Ghassan Hamdan, pula menyifatkan penutupan itu sebagai satu lagi langkah baharu dalam dasar Israel di Tebing Barat yang diduduki sejak 1967.

“Ini adalah sebahagian daripada dasar peningkatan tekanan Israel, yang bermula dengan pengepungan dan sekatan ke atas bandar-bandar Palestin serta pelbagai wilayah pentadbiran, diikuti serbuan dan peluasan penempatan haram,” kata Hamdan.

“Kini mereka telah beralih kepada sasaran institusi kebajikan,” tambahnya.

Israel telah melancarkan banyak serbuan terhadap organisasi Palestin yang dituduh bekerjasama atau membiayai kumpulan bersenjata yang dianggapnya sebagai ancaman keselamatan.

Penutupan Al-Tadamon berlaku ketika ketegangan berterusan di Tebing Barat yang menyaksikan serbuan tentera Israel semakin meningkat sejak tercetusnya serangan ke atas di Gaza pada 2023. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.